Sumareh digantung dua tahun

Sumareh kini mewakili kelab Thailand, Police Tero selepas meninggalkan Pahang secara mengejut.
Sumareh kini mewakili kelab Thailand, Police Tero selepas meninggalkan Pahang secara mengejut.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) yang mendapati bekas pemain importnya, Mohamadou sumareh bersalah terhadap empat kesalahan, mengenakan hukuman gantung dua tahun bagi setiap kesalahan tersebut, daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PBNP Rizal Chek Hashim berkata, hukuman bagi keempat-empat kesalahan itu yang dilakukan sewaktu pemain itu bersama skuad Tok Gajah, berjalan serentak dan pemain naturalisasi pertama Malaysia itu hanya perlu menjalani hukuman selama dua tahun.

"Keputusan dibuat selepas Jawatankuasa Tatatertib PBNP bersidang hari ini, bagi meneliti dan mengkaji pertuduhan terhadap pemain tersebut, yang didapati melanggar terma-terma kontrak yang dilaporkan PBNP dan pasukan Liga Super Pahang kepada kami.

"Pertuduhan ini telah melalui proses notis dan pendengaran seperti termaktub dalam peruntukan undang-undang PBNP dan pemain terlibat telah diberikan notis sebanyak dua kali, bagi menjawab pertuduhan terhadapnya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa berlangsung hari ini.

Rizal mendakwa sumareh yang kini menyertai kelab Thailand Police Tero FC, juga telah diminta untuk berdepan dengan Jawatankuasa Tatatertib PBNP bagi menjawab semua pertuduhan terhadapnya, namun pemain itu dikatakan memilih untuk tidak hadir.

Sehubungan itu, Rizal berkata, pihaknya akan memaklumkan hukuman tersebut kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), untuk dipanjangkan kepada pihak yang berkaitan.

Mengulas lanjut, Rizal berkata sumareh yang mendapat gelaran 'Keli Boy' daripada penyokong Tok Gajah didapati telah membuat kenyataan akhbar tanpa kebenaran PBNP, yang telah melanggar artikel 61 kod tatatertib FAM, artikel 4.11 kontrak pemain dan artikel 10.05 Perlembagaan PBNP 2004.

Bagi pertuduhan kedua, pemain kelahiran Gambia berusia 26 tahun itu didapati telah melanggar artikel 6.6 kontrak pemain kerana merujuk terus kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) (Dispute Resolution Chamber), tanpa terlebih dahulu merujuk kepada FAM.

Artikel Berkaitan:

"Pemain itu turut didapati gagal menghadirkan diri ke sesi latihan bersama pasukan mulai 3 hingga 28 Ogos lalu dan pertuduhan terakhir ialah gagal menghadiri perlawanan Liga Super bertarikh 28 Ogos lalu antara Pahang dan Johor Darul Ta'zim, yang merupakan pelanggaran artikel 5.1 kontrak beliau,” katanya.

Sumareh yang mula menyarungkan jersi Tok Gajah pada tahun 2017 dikatakan telah menghantar surat pembatalan kontrak kepada PBNP pada 4 Ogos lalu, berdasarkan klausa 8.6 yang menyatakan pemain boleh membatalkan kontrak jika pasukan tidak membayar gaji lebih daripada satu kali.

Bagaimanapun, PBNP dilaporkan menafikan dakwaan itu sebaliknya berpegang kepada perjanjian yang telah ditandatangani serta persetujuan yang dicapai secara bersama oleh kedua-dua pihak.

- Bernama