Joe Biden tersilap sebut nama Trump

Biden membuat kesilapan itu ketika konsert secara maya, I Will Vote Concert pada Ahad lalu. - Foto: Agensi
Biden membuat kesilapan itu ketika konsert secara maya, I Will Vote Concert pada Ahad lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi menyindir pesaingnya daripada Demokrat gara-gara bekas Naib Presiden itu tersalah sebut namanya.

Insiden itu berlaku ketika Joe Biden menjawab soalan diajukan hos, George Lopez ketika konsert secara maya, I Will Vote Concert pada Ahad lalu.

"Untuk tempoh empat tahun lagi kita akan melihat kedudukan kita jika George, er George... jika Trump dilantik sekali lagi. Kita akan berada di dunia yang berbeza," kata Biden, 77, yang dilihat segera membetulkan kesilapan itu selepas ditegur oleh isterinya, Jill yang duduk di sebelahnya.

Beberapa jam kemudian, Trump mengambil peluang untuk memperli beliau yang digelar sebagai 'sleepy Joe' oleh bilionair hartanah tersebut di Twitter.

"Joe Biden panggil saya George semalam. Beliau tidak boleh ingat nama saya," ujarnya.

Susulan kejadian itu, beberapa pihak membuat spekulasi mendakwa Biden mungkin menyebut nama bekas Presiden, George W Bush (2001-2009) atau George H W yang memegang jawatan di Rumah Putih pada 1989-1993.

Penyokong beliau bagaimanapun percaya Biden mungkin merujuk kepada nama hos terbabit yang bertanyakan soalan kepadanya.

Kesilapan itu sekali lagi digunakan oleh Republikan untuk mempersoalkan tentang keupayaan mental Biden, topik yang berulang kali disebut Trump ketika kempen pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Biden menerusi wawancara bersama 60 Minutes mentertawakan Trump yang sering mempertikaikan kesihatan mentalnya.

"Beliau adalah orang sama yang menyangka serangan 9/11 adalah sama seperti serangan 7-Eleven. Beliau mahu cakap tentang demensia?

"Apa yang saya boleh katakan adalah seluruh rakyat Amerika melihat saya dan apa yang saya telah buat dan akan lakukan. Bandingkan ketajaman mental dan fizikal kami.

"Saya gembira ada perbandingan seperti itu," katanya. - Agensi