Adam tekad raih tempat dalam kesebelasan utama JDT

Adam mula menyertai JDT pada musim 2019.
Adam mula menyertai JDT pada musim 2019.
A
A
A

PEMAIN pertahanan kebangsaan Adam Nor Azlin berazam menempah tempat dalam kesebelasan utama Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali gus membantu JDT terus meraih pelbagai kejuaraan pada musim akan datang.

Beliau yang baru-baru ini menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun untuk kekal di JDT sehingga 2022, sedia meningkatkan prestasi semasanya bagi menarik perhatian dan kepercayaan pengendali dan Ketua Jurulatih JDT Benjamin Mora.

Bekas pemain Selangor berusia 24 tahun itu hanya diturunkan sebagai pemain gantian dalam empat daripada keseluruhan 11 perlawanan Liga Super musim ini yang menyaksikan JDT berjaya mempertahankan kejuaraan tersebut buat kali ketujuh berturut-turut.

“Insya-Allah dalam tempoh dua tahun ini sudah tiba masa untuk saya kembalikan prestasi yang asal. Saya tidak sabar ingin buktikan aksi terbaik dalam musim 2021 dan 2022 sekali gus mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

“Disebabkan kurang minit permainan tahun ini mungkin saya perlu perbaiki dan tingkatkan kembali aspek berkaitan bagi mendapatkan kepercayaan jurulatih dan diberikan lebih minit bermain dalam musim mendatang,” katanya kepada Bernama.

Adam merupakan tonggak skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan yang memenangi pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selain memainkan watak penting dalam skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pada kempen Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China dan temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Memiliki ketinggian yang ideal, Adam mempunyai keupayaan menjaringkan gol menerusi tandukan ketika sepakan percuma atau sepakan sudut selain pengalaman beraksi sebagai penyerang serta memiliki kekuatan kaki untuk membuat rembatan.

Di JDT, Adam bersaing bersama tiga pemain berpengalaman - ketua pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak, Mohamad Fadhli Mohd Shas dan pemain import dari Brazil Mauricio dos Santos di posisi pertahanan tengah pasukan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau berkata setiap pemain perlu menggunakan sepenuhnya peluang diberikan sama ada ketika sesi latihan atau perlawanan sebenar untuk membuktikan kemampuan dan meraih kepercayaan jurulatih.

“Bagi saya pemilihan yang akan dilakukan jurulatih adalah satu keputusan yang amat mustahak. Apa yang penting bagi pemain ialah jika diberi peluang, jadikan ia sebagai motivasi untuk berikan serta pamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan,” tambah Adam.

Dalam pada itu, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini mengesahkan JDT akan menghantar pasukan yang seimbang untuk penyertaan dalam saingan Piala Malaysia dan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang bertindih bermula bulan depan.

Mengulas mengenai perkembangan tersebut, Adam berkata beliau sentiasa gembira dan bersemangat untuk beraksi dalam mana-mana saingan dan membantu pasukan dalam setiap perlawanan.

“Mana-mana pun jurulatih letak saya untuk beraksi, saya akan mengambil sepenuh tanggungjawab dan memberikan komitmen kepada pasukan,” jelas beliau yang merupakan antara dua pemenang program realiti Mencari Ramli musim pertama pada 2012. - Bernama