X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Pejabat Air Selangor Kuala Langat tutup sementara

A
A

SHAH ALAM - Pejabat Air Selangor Kuala Langat akan ditutup sementara berikutan kes positif Covid-19 melibatkan warga kerja di bahagian kaunter pejabat tersebut.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan memaklumkan warga kerja ini telah menjalani kuarantin sejak 22 Oktober lalu dan telah disahkan positif pada jam 4.30 petang hari ini.

"Sebagai alternatif, para pelanggan boleh berurusan di Kaunter Khidmat Pelanggan Wilayah Sepang atau mana-mana kaunter berdekatan.

"Untuk pembayaran bil, para pelanggan digalakkan menggunakan platform perbankan secara dalam talian menggunakan JomPay," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, Air Selangor sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memastikan semua tindakan bagi mencegah penyebaran pandemik Covid-19 dilaksanakan dengan segera.

"Untuk mengurangkan risiko jangkitan, Air Selangor telah melakukan tindakan antaranya pengesanan kontak rapat untuk mengesan mana-mana warga kerja dan pelawat luar yang telah berurusan secara terus dengan warga kerja tersebut dari 19 hingga 22 Oktober 2020.

"Individu-individu tersebut akan dihubungi dengan segera dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari dan mendapatkan bantuan perubatan (ujian saringan Covid-19)," katanya.

Tambahnya, Pejabat Air Selangor Kuala Langat juga telah disanitasi sepenuhnya pada jam 5.30 petang hari ini.

"Keselamatan kakitangan dan para pelanggan adalah keutamaan kami di Air Selangor.

"Kami akan memaklumkan sebarang informasi terkini melalui saluran komunikasi rasmi Air Selangor," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!