Bersatu percaya PN mampu tangani Covid-19

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli-ahli Bersatu dari semua peringkat pimpinan serta akar umbi akan memberikan sokongan dan kepercayaan teguh kepada barisan kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN), dalam menangani cabaran pandemik Covid-19.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, barisan kepimpinan kerajaan PN hari ini harus diberikan ruang untuk fokus bekerja melindungi dan meringankan beban rakyat yang terjejas akibat penularan wabak ini.

“Bersatu menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang jelas mengabsahkan keupayaan dan kemampuan kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mengawal penularan Covid-19 dalam negara.

“Bersatu juga menyeru semua pihak menjunjung tinggi dan patuh kepada titah Seri Paduka Baginda untuk menghentikan sebarang percaturan politik yang boleh menggugat kestabilan pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahad lalu, Al-Sultan Abdullah bertitah, tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Seri Paduka Baginda bertitah, perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri dan berbincang dengan Raja-raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: