Fahami makna Rekonsiliasi Nasional

A
A
A

KENYATAAN media Istana Negara yang diedarkan pada petang 25 Oktober 2020 adalah sangat bersejarah kerana menyampaikan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tidak berkenan dengan permohonan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat atas maksud bagi memerangi wabak koronavirus (Covid-19).

Dalam kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah mengingatkan semua ahli politik agar berhenti bermain politik yang boleh mengganggu kestabilan pentadbiran kerajaan sedia ada.

Pergerakan Pemuda UMNO merakamkan ucapan menjunjung kasih, taat setia dan mendokong sepenuhnya titah diraja itu serta mendoakan agar Seri Paduka Baginda berdua, Raja-raja Melayu dan seluruh ahli kerabat diraja sentiasa dirahmati serta dinaungi oleh ALLAH SWT.

Atas dasar itu, Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO juga telah mengeluarkan beberapa ketetapan, antara lain menggesa semua parti politik tanpa mengira latar belakang bersama ke meja rundingan atas nama Rekonsiliasi Nasional dan Perdamaian Nasional untuk fokus membantu rakyat menghadapi ancaman Covid-19.

Bahkan, satu pendekatan inklusif melangkaui ideologi parti perlu dilakar oleh kerajaan bagi menangani Covid-19 dan kesan negatif ekonomi yang dihadapi rakyat.

Pun begitu, UMNO mengambil sikap konsisten untuk tidak bekerjasama dengan PKR dan DAP atas maksud untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN). Malah, UMNO akan terus mendokong kerajaan sedia ada demi kelangsungan rakyat dan negara.

Bagaimanapun, UMNO mengharapkan kerjasama politik dengan PN yang dibentuk itu perlu dilaksanakan dengan prinsip yang lebih tulus dan ikhlas yang lebih berpaksikan nilai penghormatan dan muafakat politik.

UMNO mahu lebih dihormati sebagai rakan dalam kerajaan tanpa wujud sebarang agenda senyap oleh mana-mana pihak untuk ‘menikam’ dan ‘membunuh’ UMNO secara terancang dari belakang.

Artikel Berkaitan:

Malah, UMNO juga menggesa proses muafakat atau konsensus politik dilaksanakan secara lebih inklusif dalam membentuk sebarang keputusan dan tidak berpaksikan kepada pendekatan membuat keputusan secara eksklusif.

Rekonsiliasi politik yang digagaskan itu hanya akan berjaya jika semua pihak benar-benar mahukan makna perdamaian politik itu dicapai. Jika tidak, rekonsiliasi akan sia-sia sekiranya wujud pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab secara berterusan merencana untuk ‘membunuh’ dan ‘menikam’ UMNO dari belakang.

UMNO hanya akan menyatakan suaranya secara berterus-terang dengan segala keupayaan yang ada untuk mempertahankan ketahanan dan keutuhan parti dan tidak seperti ibarat manis di bibir tetapi melempar tuba di belakang.

Keikhlasan dan kejujuran adalah prasyarat utama bagi merangka serta menjayakan kerjasama politik. Tinggalkanlah segala keangkuhan dan kesombongan kuasa yang tidak seberapa itu jika benar-benar mahu bekerjasama.

Usah bicara soal ketulenan istiqamah atau 100 peratus kesetiaan jika tiada keikhlasan dan kejujuran dalam menetapkan titik-titik persamaan.

Tuntas, peristiwa dan insiden yang berlaku beberapa hari ini akan menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah negara yang meningkatkan kesedaran serta mematangkan nilai politik dan apresiasi demokrasi dalam kalangan rakyat jelata, khususnya orang muda.

Ambillah peluang itu untuk kita dapat bersama-sama dan bergandingan demi pemulihan negara yang tercinta.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia