X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Dua kluster baharu di Sabah dan Labuan

Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan dua lagi kluster baharu koronavirus (Covid-19) hari ini, masing-masing satu di Sabah dan Labuan menjadikan jumlah keseluruhan kluster ketika ini adalah sebanyak 230.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Lintas di daerah Kota Kinabalu dengan enam kes telah disahkan positif hasil ujian saringan di tempat kerja semalam.

"Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan. Sehingga jam 12 tengah hari ini, sejumlah 21 individu telah disaring, di mana enam dikesan positif dan 15 negatif," katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan harian Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes indeks bagi kluster Limbungan di Labuan pula (iaitu kes ke-18,741) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil ujian saringan kontak rapat pada 15 Oktober lalu.

Katanya, saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 19 lagi kes positif Covid-19 pada hari ini dengan kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Labuan.

"Sehingga jam 12 tengah hari, sejumlah 383 individu telah disaring dengan 20 kes dikesan positif Covid-19, sebanyak 44 individu negatif dan 319 individu masih menunggu keputusan," katanya.

Beliau berkata setakat hari ini, KKM merekodkan 119 kluster aktif dengan 38 daripadanya mencatatkan pertambahan kes. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!