Tiga bahagian Bersatu Johor buat laporan polis

Mohamad Nor (kanan) bersama sebahagian ahli parti Bersatu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang hari ini.
Mohamad Nor (kanan) bersama sebahagian ahli parti Bersatu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang hari ini.
A
A
A

KLUANG- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kluang, Sembrong dan Simpang Renggam membuat laporan polis ke atas Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini.

Ketua Bersatu Bahagian Kluang, Mohamad Nor Lingan berkata, laporan polis itu dibuat berikutan kenyataan Mohd Puad yang mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

Katanya, kenyataan itu dilihat seolah-olah mencabar titah Yang di-Pertuan Agong agar menghentikan segala hal berkaitan politik yang boleh menggugat kesetabilan pemerintahan negara.

"Kami mendesak agar siasatan juga dijalankan mengikut Akta Hasutan selepas ingkar titah Seri Paduka Baginda yang sepatutnya ditaati oleh seluruh rakyat di negara ini selaras dengan Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang hari ini.

Hadir sama adalah Ketua Bersatu Bahagian Sembrong, Daud Yusuf dan Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Simpang Renggam, Azman Mohd Umar.

Sinar Harian semalam melaporkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak cadangan beliau untuk mengisytiharkan darurat.

Artikel Berkaitan: