'UMNO buat keputusan demi titah Agong, rakyat'

Mohd Razlan Rafii
Mohd Razlan Rafii
A
A
A

SHAH ALAM - Walaupun mempunyai pilihan, UMNO tetap membuat keputusan untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menyelamatkan kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, parti itu sanggup berbuat apa sahaja demi rakyat dan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Apa yang UMNO hendak buktikan bahawa kita akan mementingkan dua entiti yang besar iaitu rakyat dan Yang di-Pertuan Agong, maka kita akan berbincang untuk membuat keputusan yang matang.

"Itu sebenarnya yang berlaku dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semalam. Keputusan kita menjurus kepada kepentingan untuk rakyat dan titah Seri Paduka Baginda," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn di sini, bermula kira-kira jam 8.30 malam sebelum berakhir lewat malamnya.

Mesyuarat itu diadakan susulan titah Yang di-Pertuan Agong bahawa tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Yang di-Pertuan Agong merasakan tiada keperluan pada masa ini untuk mengisytiharkan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B).

Susulan itu, Razlan berkata, UMNO bertindak matang demi menjaga kepentingan Raja-raja Melayu dan keselamatan, kesihatan serta ekonomi dengan kolektif mengekalkan sokongan kepada kerajaan PN.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, ini bukan kali pertama kerana apabila negara berada dalam keadaan yang gawat pada Februari lepas, UMNO juga bertindak menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

"Ketika itu ia adalah pilihan terakhir UMNO kerana kedudukan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

"UMNO tidak akan memperjudikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan umum demi suatu pilihan raya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO kekal sokong kerajaan PN, tolak kerjasama PKR, DAP

Yang di-Pertuan Agong tolak cadangan darurat