KKM terima peruntukan RM1 bilion bagi tangani Covid-19

YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Kesihatan Malaysia menyempurnakan Majlis Perasmian Dua Bilik Bedah Baharu dan Jabatan Perkhidmatan Pensterilan Berpusat (CSSD) sempena lawatan kerja ke Hospital Miri hari ini.
YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Kesihatan Malaysia menyempurnakan Majlis Perasmian Dua Bilik Bedah Baharu dan Jabatan Perkhidmatan Pensterilan Berpusat (CSSD) sempena lawatan kerja ke Hospital Miri hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi perlaksanaan program-program menangani pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, peruntukan tersebut akan melibatkan pembelian ubat-ubatan dan peralatan kesihatan, selain pengambilan 2,000 kakitangan baharu KKM sejak Mac lalu.

"Terkini KKM telah melantik 150 Pegawai Perubatan Gred UD41 kontrak yang berjaya menamatkan program latihan siswazah masing-masing. Penempatan kali ini hanya dibuat di pejabat dan fasiliti kesihatan Sarawak selepas mengambil kira kepentingan perkhidmatan dan kekosongan jawatan.

“Seramai 66 pegawai dari jumlah itu ialah anak watan Sarawak, manakala baki 84 lagi terdiri daripada anak kelahiran semenanjung yang diyakini mampu memberikan komitmen sepenuhnya kepada rakyat Sarawak.

“Pelantikan ini juga akan menandakan semua anak kelahiran Sarawak dengan jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 (kontrak) dalam Kohort Lantikan Bilangan 2 Tahun 2017 berjaya memenuhi kriteria untuk dilantik ke jawatan tetap,” katanya ketika berucap pada perasmian Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Miri hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam pada itu, Adham berkata, bangunan tambahan yang dijangka siap pada tahun 2023 itu telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas dengan anggaran kos RM340 juta.

Katanya, hospital yang memiliki kapasiti sebanyak 328 katil itu bakal menyediakan perkhidmatan asas kepada penduduk di daerah Miri yang semakin bertambah selain turut menampung keperluan untuk penduduk di kawasan utara Sarawak.

Artikel Berkaitan:

“Bangunan tambahan ini bakal dilengkapi dengan empat dewan bedah am dan juga dua dewan bedah bagi tujuan bersalin. Jadi dengan adanya bangunan tambahan baharu ini ia akan memberi impak yang positif kepada penduduk di negeri Sarawak amnya.

"Malah kita turut mensasarkan dapat menurunkan purata kadar penggunaan katil daripada 81.75 peratus kepada 70 peratus dan membantu mengurangkan kesesakan pesakit di kawasan tersebut antaranya ialah Hospital Bintulu, Hospital Marudi, Hospital Limbang dan Hospital Lawas," katanya.

Adham berkata, antara perkhidmatan yang bakal disediakan di bangunan tambahan itu ialah Jabatan Kecemasan, Klinik Pakar, 84 katil bagi wad pembedahan am, 84 katil bagi wad paediatrik, 88 katil bagi wad obstetrik. Selain itu, bangunan tersebut juga akan memuatkan 20 katil untuk wad kelas pertama, 16 katil untuk ICU dan PICU manakala 32 katil lagi untuk NICU serta Pusat Jagaan Khas.