Dua kru Dayang Topaz disahkan meninggal dunia

Dua warga tempatan yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Foto APMM
Dua warga tempatan yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Foto APMM
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua warga tempatan disahkan meninggal dunia dalam insiden kapal Dayang Topaz yang karam di 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri, Sarawak hari ini.

Pemangku Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Putrajaya, Komander Maritim Dr Suzanna Razali Chan berkata, berdasarkan maklumat terkini dari Pusat Koordinasi Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya, pesawat AW 189 Petronas selamat mendarat di Lapangan Terbang Miri pada jam 5.40 petang dengan membawa dua mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

"Kedua-dua mangsa merupakan warganegara Malaysia telah dibawa menaiki helikopter dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Miri sebelum diserah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Sementara itu, seramai 173 individu daripada 185 mangsa yang selamat telah tiba di jeti Pelabuhan Miri manakala 12 kru Dayang Topaz kekal berada di atas kapal tersebut bagi memastikan keselamatan kapal.

"Semua mangsa akan menjalani saringan Covid-19 (swab test) dan ditempatkan sementara di sebuah fasiliti penginapan bagi tujuan kuarantin. Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) akan ditamatkan setelah semua mangsa dikenal pasti dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pesawat AW 189 Petronas selamat mendarat di Lapangan Terbang Miri pada jam 5.40 petang dengan membawa dua mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Pesawat AW 189 Petronas selamat mendarat di Lapangan Terbang Miri pada jam 5.40 petang dengan membawa dua mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Seramai 159 pegawai dan anggota melibatkan APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Tentera Darat Malaysia (TDM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) terlibat dalam tugasan di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC).

Sementara itu, bagi operasi carilamat di laut pula membabitkan sebuah bot dan dua kapal APMM, 13 buah kapal Petronas dan Shell, empat buah pesawat udara daripada Petronas, TUDM, bomba serta Brunei Shell Petroleum melibatkan seramai 300 orang.

Artikel Berkaitan:

Dr Suzanna berkata, pihaknya mengucapkan setinggi perhargaan dan terima kasih di atas kerjasama semua pihak yang terlibat.

Terdahulu, MRCC Putrajaya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.45 pagi daripada kapal Sapura Construction yang menerima isyarat kecemasan dari kapal Dayang Topaz di lokasi terbabit.

Dalam kejadian itu, seramai 125 anak kapal terjun ke laut manakala 62 yang berada di atas Dayang Topaz diselamatkan oleh kapal penyelamat.

Berdasarkan maklumat awal, kejadian dipercayai berpunca daripada salah satu kabel sauh kapal Dayang Topaz terputus berikutan cuaca buruk.

Kapal berkenaan tidak dapat dikawal sebelum hanyut melanggar platform pelantar minyak Baram B.

Mangsa yang terlibat merangkumi 185 kru warganegara Malaysia dan dua kru warganegara Indonesia iaitu kapten kapal dan ‘chief officer’ berusia antara 21 hingga 63 tahun.

Kru kapal MV Dayang Topaz iaitu kapal jenis ‘Accommodation Work Barge’ milik DESB Marine Services Sdn Bhd telah menghantar isyarat kecemasan ke kapal Sapura Constructor yang memulakan gerakan bantuan awal.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang maut, empat hilang kapal karam

Empat kru kapal Dayang Topaz hilang, dijumpai

Mangsa insiden kapal Dayang Topaz dibawa ke Pelabuhan Miri