62 daripada 230 kluster berkaitan tempat kerja

Dr Noor Hisham (tengah) menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham (tengah) menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 30 peratus atau 62 kluster Covid-19 daripada 230 kluster yang dilaporkan di Malaysia sejak permulaan pandemik itu adalah berkaitan dengan tempat kerja, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, sebanyak 70 peratus pula adalah susulan pengesanan aktif dan kontak dalam kalangan komuniti yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO).

Beliau berkata, sehingga hari ini terdapat 37 kluster berkaitan tempat kerja yang masih aktif termasuk dua kluster baharu hari ini iaitu kluster Lintas di Sabah dan kluster Limbungan di Labuan.

Dr Noor Hisham merakam penghargaan kepada majikan dan syarikat swasta, bersama-sama membantu mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan warga kerja.

"Tindakan proaktif majikan yang turut sama menjalankan saringan terhadap pekerja membolehkan pengesanan kes positif yang tidak bergejala dalam kalangan warga kerja dan seterusnya membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menjalankan aktiviti kesihatan awam dengan segera," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, tindakan proaktif majikan sekali gus membantu negara membendung penularan jangkitan dalam sesebuah komuniti yang juga melindungi individu daripada kumpulan berisiko tinggi, warga emas dan kanak-kanak.

Katanya, selain tindakan proaktif majikan, warga kerja perlu memainkan peranan dalam membantu membendung penularan Covid-19 di tempat kerja dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Mengenai situasi di Sabah, Dr Noor Hisham berkata, KKM sedang melakukan yang terbaik dari segi pelarasan dan inovasi untuk meningkatkan sistem kesihatan bagi mengekang pandemik itu dengan berkesan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, cabaran terbesar di Sabah adalah isu logistik, bagaimanapun penyelarasan dengan agensi lain sebagai satu pasukan dapat membantu membendung jangkitan itu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah telah menunjukkan keputusan positif terutama di pantai timur Sabah memandangkan kes di sana telah berkurangan.

“Tetapi di pantai barat, ia semakin meningkat, kita perlu tingkatkan intervensi kesihatan awam kita,” katanya. - Bernama