X

Kindly register in order to view this article
!

Permohonan Subsidi Upah 2.0 masih dibuka sehingga 31 Disember

Program Subsidi Upah 2.0. - Sumber Perkeso
A
A

KUALA LUMPUR - Program Subsidi Upah (PSU) 2.0, iaitu bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan untuk setiap pekerja yang berpendapatan RM4,000 dan ke bawah, bermula 1 Oktober ini di bawah Pakej Kita Prihatin, masih lagi dibuka untuk permohonan sehingga 31 Disember 2020.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, PSU adalah antara inisiatif yang paling dimanfaatkan oleh majikan dan setakat 16 Oktober 2020, sebanyak RM11.998 bilion subsidi upah telah diluluskan untuk memanfaatkan lebih 322,150 majikan serta lebih 2.639 juta pekerja.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi antara Agensi Nasional (Laksana) ke-27 menerusi akaun Facebooknya hari ini.

Mengenai Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan, beliau berkata, sehingga 16 Oktober 2020 seramai 58,822 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini.

Daripada jumlah itu, seramai 46,838 pekerja di bawah umur 40 tahun, 7,168 dalam kumpulan usia 40-60 tahun, 302 orang kelainan upaya dan 4,514 perantis.

Bagi inisiatif melonjakkan perniagaan, Tengku Zafrul berkata, RM2 bilion telah diperuntukkan di bawah Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Penjana, dengan memberi keutamaan kepada PKS dari pelbagai sektor perniagaan yang belum pernah mendapat pinjaman daripada bank sebelum ini.

Beliau berkata, sehingga 16 Oktober 2020, sebanyak 4,176 permohonan PKS telah diluluskan dengan nilai pinjaman sebanyak RM930.4 juta.

Untuk Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana bernilai RM1 bilion, beliau berkata, setakat 16 Oktober 2020 sejumlah 397 PKS telah menyerahkan permohonan dan daripada jumlah itu, sebanyak 162 permohonan dengan nilai RM28.8 juta telah diluluskan.

Tengku Zafrul berkata, di bawah Skim Pemulihan Perniagaan Tekun (TBRS), terutamanya untuk PKS Mikro, sebanyak RM77.4 juta telah disalurkan kepada 11,683 PKS mikro yang terdiri daripada bengkel kenderaan, kedai runcit dan pembuatan kraftangan.

Bagi Pembiayaan Mikro Kredit Penjana di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN), sejumlah RM133.3 juta telah diagihkan kepada 3,668 mikro PKS dalam sektor runcit dan perkhidmatan runcit sehingga 16 Oktober. - Bernama.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!