35 lokaliti di Zon Nilai terlibat PKPB

Aminuddin menunjukkan lokasi PKPD di Putra Point, Nilai pada sidang akhbar khas di Wisma Negeri hari ini.
Aminuddin menunjukkan lokasi PKPD di Putra Point, Nilai pada sidang akhbar khas di Wisma Negeri hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 35 lokaliti atau taman di Zon Nilai terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala sebahagian tiga jalan di Putra Point, Nilai dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula malam ini (Rabu,12.01 pagi).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kawasan perniagaan dan institusi sekitar 35 lokaliti tersebut juga terlibat dalam PKPB ini.

"Antara institusi dan kawasan perniagaan tersebut adalah Universiti Sains Islam Malaysia; Nilai International School; Nilai University; Manipal University; INTI College; AEON Nilai; Tesco, Giant, Mesamall, kawasan perniagaan Putra Nilai dan Putra Point; dan Nilai Spring Golf and Country Resort.

"Masjid dan surau di kawasan PKPB dibenarkan mendirikan solat jemaah lima waktu terhad kepada tiga orang sahaja iaitu imam, bilal dan siak. Azan dibenarkan untuk dikumandangkan.

"Solat Jumaat dibenarkan dengan 40 orang jemaah. Selain itu semua premis sosial dan pendidikan termasuk institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz, pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah pondok adalah ditutup," katanya pada sidang akhbar khas situasi koronavirus (Covid-19) di Negeri Sembilan di sini petang ini.

Aminuddin (tiga dari kiri) pada sidang akhbar khas di Wisma Negeri hari ini.
Aminuddin (tiga dari kiri) pada sidang akhbar khas di Wisma Negeri hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, bagi PKPD kawasan yang akan ditutup dan dikawal oleh anggota keselamatan diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Putra Point, Nilai adalah di Jalan BBN 1/7A, Jalan BBN 1/7B dan Jalan BBN 1/7E.

"Semua yang mempunyai kontak rapat dengan Kluster Kaya dan tinggal di asrama Jalan BBN 1/2E akan dipindahkan ke asrama di Jalan BBN 1/7B dan tiada pergerakan keluar masuk di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Penghuni asrama di ketiga-tiga blok ini yang merupakan kontak rapat kepada Kluster Kaya tidak dibenarkan keluar daripada asrama masing-masing selain pasukan keselamatan akan mengawal kawasan ini 24 jam," katanya.

Aminuddin berkata, prosedur operasi standard (SOP) terperinci berkaitan PKPD dan PKPB ini turut boleh dirujuk di laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataannya memaklumkan PKPD akan dilaksanakan di Putra Point, Nilai dan PKPB di Zon Nilai, Negeri Sembilan yang berkuatkuasa Rabu sehingga 10 November depan (Selasa).

Katanya, pelaksanaan PKPD itu bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

" SOP adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini," katanya.