Pencemaran Sungai Kundang: 11 individu ditahan

Fadzil Ahmat
Fadzil Ahmat
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menahan 11 individu dalam serbuan di sebuah kilang pemprosesan minyak sawit di kawasan perindustrian Kundang Jaya, Kundang, Selangor semalam susulan kes pencemaran Sungai Kundang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, serbuan kira-kira jam 3 petang itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

"Seramai 11 orang telah ditahan membabitkan seorang pengurus kilang berusia 66 tahun dan 10 lelaki termasuk lapan warga Myanmar iaitu pekerja kilang terbabit berusia lingkungan 27 hingga 36 tahun.

"Pihak polis juga telah merampas beberapa dokumen dan peralatan yang disyaki digunakan menyebabkan pencemaran air," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua tangkapan kini direman selama tujuh hari sehingga 2 November depan.

Hari ini, tiga lelaki termasuk seorang pengarah syarikat di sebuah kilang memproses minyak kelapa sawit terpakai ditahan reman tujuh hari sehingga 2 November berhubung pencemaran air di Sungai Kundang, Rawang.

Sebelum ini, media melaporkan siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati pencemaran bau air sungai itu berpunca daripada bahan biodiesel yang melebihi 10 TON (ukuran kadar bau) pada aliran disyaki dari kawasan perindustrian Kundang Jaya.

Penjejakan pencemaran itu membawa kepada sebuah kilang di kawasan perindustrian Kundang Jaya yang kemudian dikenakan surat arahan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 supaya menghentikan serta-merta discaj efluen selain melaksanakan tindakan pembersihan segera.

Artikel Berkaitan: