Warisan tiada masalah sokong Belanjawan 2021

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan pihaknya tiada masalah untuk menyokong Belanjawan 2021 jika perinciannya secara menyeluruh untuk membantu rakyat, mengatasi pandemik koronavirus (Covid-19) dan memulihkan ekonomi negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna mengambil contoh seperti di Sabah di mana sektor perubatan dan kesihatan di negeri itu masih jauh ketinggalan berbanding negeri lain.

Justeru, beliau mahu Belanjawan 2021 memberi fokus kepada menyelesaikan kekurangan tersebut demi manfaat rakyat Sabah.

"Tiada masalah bagi sokongan kalau ia berpatutan, bertepatan dengan apa kita katakan, selaras seperti apa yang dititahkan Tuanku, Raja-raja Melayu bahawa kepentingan rakyat dan kepentingan negara itu penting bagi kita.

"Kalau untuk kepentingan rakyat contohnya bantuan makanan bagi mengurangkan bebanan, kita akan bagi sokongan.

"Kita di peringkat negeri Sabah contohnya perubatan dan sistem kesihatan begitu jauh ketinggalan. Bukan hanya jumlah doktor yang tidak mencukupi bahkan juga hospital yang ada kadang-kadang tidak cukup digunakan untuk kuarantin," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Shafie berkata, kerajaan perlu memastikan Covid-19 yang melanda Sabah diuruskan dengan sebaiknya termasuk menyediakan lebih banyak pusat kuarantin yang berdekatan dengan masyarakat demi memastikan rakyat tidak mengalami kesusahan.

"Beberapa hari lalu saya ada berhubung dengan doktor di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna, saya kata jadikan dewan masyarakat di Pulau Bum-Bum sebagai satu pusat kuarantin.

Artikel Berkaitan:

"Kalau kita pindahkan pesakit ke pusat bandar di Tawau atau Semporna, ia tidak akan mencukupi sebab tidak mudah bagi kita untuk pindahkah mereka tetapi kalau kita sediakan pusat seumpama itu di tempat yang tidak jauh maka kita ringankan beban rakyat, ini yang kita katakan prihatin belanjawan yang berkonsep prihatin kepada rakyat," katanya.

Mohd Shafie turut berkata, beliau juga mahu Belanjawan 2021 bukan hanya berpaksikan kepada pembangunan semata-mata tetapi turut melibatkan rakyat dan komuniti perniagaan yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Tambah beliau lagi, semakin banyak syarikat kini muflis dan tidak bermaya tetapi kerajaan mengutip sehingga RM160 bilion setahun cukai daripada mereka, justeru satu langkah perlu diambil untuk memastikan sektor ekonomi disuburkan kembali sebelum kerajaan mengenakan cukai terhadap syarikat-syarikat berkenaan.