Kerajaan, SPR bincang SOP ketat PRK Batu Sapi

Ismail Sabri ketika berucap pada sidang media perkembangan PKPP di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan, hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika berucap pada sidang media perkembangan PKPP di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan berbincang bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang bakal diadakan 5 Disember ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP tersebut perlu dibentangkan bagi menjamin kesihatan penduduk Batu Sapi yang akan keluar mengundi.

"Kami akan memanggil SPR esok atau lusa dan akan membentangkan SOP yang lebih ketat bagi menjamin kesihatan penduduk Batu Sapi untuk keluar mengundi.

"Kami tak boleh menahan sesiapa daripada keluar mengundi kerana Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kepada setiap rakyat untuk mengundi. Jadi SPR akan keluarkan SOP supaya boleh mengurangkan pergerakan dan kontak antara individu sepanjang tempoh PRK," katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Ismail Sabri turut berkata, kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menghalang sebarang pilihan raya diadakan, termasuk PRK Batu Sapi memandangkan ia di bawah kuasa SPR.

"Sekali lagi ingin saya jelaskan, ia (pilihan raya) bukan di bawah kuasa kerajaan untuk menentukan (kerana ia) di bawah Perlembagaan (Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan) dan kuasa SPR," katanya.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan Sabah pada 2 Oktober lepas.

SPR menetapkan pada 23 November sebagai hari penamaan calon bagi PRK itu dan pengundian awal pada 1 Disember depan. Batu Sapi mempunyai seramai 32,962 pengundi termasuk 672 anggota tentera dan 1,138 anggota polis.

Artikel Berkaitan:

Mengulas pertanyaan berhubung 'weekend husband' atau 'weekend wife' yang bertemu seminggu sekali melibatkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Ismail Sabri berkata mereka boleh merentas negeri tetapi perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak polis terlebih dahulu.

“Orang ramai boleh rujuk laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (www.mkn.gov.my) yang mempunyai butiran mengenai SOP, peraturan serta cara-cara memohon kebenaran daripada pihak polis dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, berkaitan SOP perayaan Deepavali yang bakal disambut 14 November ini, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan membuat keputusan mengenainya minggu ini sebelum diumumkan.

Berhubung pengecualian caj RM1 di semua mesin juruwang automatik (ATM) bagi pengeluaran wang mesin MEPS, Ismail berkata setakat ini ia masih diteruskan dan hanya Kementerian Kewangan yang akan memutuskan tarikh pengecualian itu ditamatkan. - Bernama