X

Kindly register in order to view this article
!

310 kenderaan diarah berpatah balik

Sebanyak 297 sekatan jalan raya di seluruh negara dan 310 kenderaan telah diarah berpatah balik kerana tiada surat kebenaran polis.
A
A

KUALA LUMPUR - Masih ramai yang memberi pelbagai alasan sehingga diarah berpatah balik di sekatan jalan raya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi mengelakkan perkara tersebut berulang, kebenaran perlu dipohon di balai polis jika ada keperluan bergerak ke sesuatu tempat, merentas negeri di bawah pelaksanaan PKPB atau keluar dari lokaliti dan kawasan PKPD.

“Contohnya PKPB di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan ingin merentas ke Pahang. Jika tiada surat kebenaran, pastinya tidak dibenarkan dan diarahkan berpatah balik,” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Jelas Ismail Sabri, sehingga semalam, sebanyak 297 sekatan jalan raya di seluruh negara dan 310 kenderaan telah diarah berpatah balik membabitkan Sabah (201 kenderaan), Johor (64) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (45).

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 612 individu ditahan semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menurun berbanding 688 individu pada hari sebelumnya dan daripada jumlah itu, seramai 604 individu dikompaun manakala lapan lagi direman.

“Kesalahan yang dilakukan ialah ingkar penjarakan fizikal (145), tidak memakai pelitup muka (156), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (134), dan lain-lain (91),” katanya.

Mengulas mengenai Operasi Benteng bagi mengawal sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin selain membendung penularan wabak Covid-19, beliau berkata, seramai 56 warga asing telah ditahan dan tiga kenderaan darat berjaya dirampas semalam.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 55,548 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 66 hotel serta 17 premis lain termasuk institut latihan awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,122 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 381 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 46,045 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat hari ini juga bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Haji Baki, Kuching, Sarawak selama 14 hari lagi bermula 28 Oktober hingga 10 November ini berikutan peningkatan kes positif Covid-19.

"PKPD di Penjara Reman dan kuarters Penjara Reman Negeri Pulau Pinang yang dijadual tamat esok dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 11 November ini," katanya.

Ismail berkata, PKPD di Flat Sungai Emas, Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32 serta Plaza Hentian Kajang yang dijadualkan tamat hari ini dilanjutkan selama 14 hari lagi bermula 28 Oktober sehingga 10 November ini merangkumi 1,300 penduduk flat dan 7,500 penduduk di Plaza Hentian Kajang. - Bernama

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan)

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

Posted by Sinar Harian on Tuesday, October 27, 2020


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!