BPN 2.0: Lebih 7.32 juta terima peruntukan RM3.6 bilion

TENGKU ZAFRUL
TENGKU ZAFRUL
A
A
A

SHAH ALAM - Proses pembayaran Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) fasa pertama berjumlah RM3.6 bilion telah berjaya disalurkan kepada lebih 7.32 juta pengguna sehingga semalam (26 Oktober).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu merangkumi 6.27 juta penerima daripada kategori B40 dan1.05 juta penerima daripada kategori M40.

"Bayaran yang telah mula disalurkan lebih awal daripada tempoh dijadualkan iaitu bermula 19 Oktober lalu itu dan dijangka akan selesai menjelang hujung bulan ini.

"Secara keseluruhannya, BPN 2.0 ini bakal meringankan beban 7.5 juta penerima bujang dan isi rumah B40, serta 3.1 juta penerima M40, menjadikan keseluruhannya 10.6 juta penerima yang boleh memanfaatkan bantuan ini," katanya menerusi perkongsian Laporan Laksana Ke-27 Pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) secara langsung di Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, bagi penerima BPN 2.0 yang tidak mempunyai akaun bank, mereka boleh membuat penunaian di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 26 Oktober 2020 (semalam).

Katanya, bagi kira-kira 6,000 penerima pula yang didapati gagal kredit melibatkan RM2.71 juta mereka boleh membuat penunaian Bantuan BPN 2.0 mulai minggu kedua November 2020.

"Selain itu, memandangkan terdapat beberapa negeri yang sedang menjalani tempoh PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), pihak BSN akan mengeluarkan panduan SOP (prosedur operasi standard) dari masa ke masa bagi menjaga kesihatan dan keselamatan penerima," katanya.

Sementara itu katanya, tempoh permohonan baharu BPN 2.0 masih dibuka sehingga 15 November ini dan bagi mereka yang diluluskan, bayaran akan dibuat secara sekaligus pada Januari 2021.

Artikel Berkaitan: