Kilang aiskrim guna logo halal tanpa perakuan sah diserbu

Md Arifin melakukan pemeriksaan terhadap aiskrim dan plastik aiskrim yang mempunyai logo halal di sebuah kilang di Kampung Parit Marjunit, Benut, Pontian semalam.
Md Arifin melakukan pemeriksaan terhadap aiskrim dan plastik aiskrim yang mempunyai logo halal di sebuah kilang di Kampung Parit Marjunit, Benut, Pontian semalam.
A
A
A

PONTIAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Pontian melakukan sitaan 2,675 aiskrim dan 273 gulung plastik yang bercetak logo halal di sebuah kilang memproses aiskrim di Kampung Parit Marjunit, Benut, di sini semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Pontian, Md Arifin Baharin berkata, serbuan yang dilakukan pada jam 11.30 pagi itu melibatkan lapan anggota KPDNHEP dan empat pegawai Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).

"Kita menjalankan siasatan berhubung aduan JAIJ berkenaan penggunaan logo halal di sebuah kilang tanpa mendapatkan perakuan daripada pihak berkuasa berwibawa yang mengeluarkan logo halal.

"Hasil pemeriksaan selanjutnya mendapati premis tersebut ada mengeluarkan produk ais krim menggunakan logo halal yang menimbulkan syak munasabah.

"Kita melakukan sitaan 2,675 aiskrim pelbagai perisa yang guna logo halal berjumlah RM28,640 dan 273 gulung plastik bungkusan aiskrim bercetak logo halal berjumlah RM31,122. Keseluruhan sitaan berjumlah RM59,762," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kilang berkenaan didapati melakukan kesalahan dan melanggar Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana memperihalkan ais krim yang dibekalkannya sebagai halal serta boleh dimakan oleh orang Islam.

Jelas beliau, perbuatan itu menjadi suatu kesalahan di bawah Perintah 8 (b) perintah yang sama.

"Perintah 8 (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 menyatakan mana-mana orang yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa makanan, barang-barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang itu, bertentangan dengan perintah ini, melakukan suatu kesalahan di bawah perintah ini," katanya.

Artikel Berkaitan: