X

Kindly register in order to view this article
!

Suami, isteri disiasat disyaki terlibat pelaburan tak wujud

Suspek ditahan dan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh bagi mendapatkan perintah reman hari ini.
A
A

IPOH - Sepasang suami isteri ditahan polis selepas disyaki terlibat memperdayakan seorang lelaki untuk menyertai pelaburan mata wang digital (bitcoin) yang tidak wujud, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamed Nordin Abdullah berkata, hasil risikan yang dijalankan lebih dua bulan lalu, kedua-dua suspek berusia 40 dan 46 tahun itu berjaya ditahan di Seremban, Negeri Sembilan.

"Siasatan dijalankan selepas menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa kerugian sejumlah RM4,366.48 (ASD$1000) selepas berminat dalam taklimat pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang banyak.

"Mangsa memasukkan wang tersebut atas nama sebuah syarikat pada November 2019 sebelum diberi satu identiti dan laman web untuk akses bagi memantau keuntungan.

"Mangsa berasa ditipu apabila tidak boleh membuat pengeluaran atau untuk dijualkan semula serta tidak mendapat apa-apa keuntungan. Mangsa dapati akaun tersebut tidak boleh diakses lagi dan laporan dibuat pada Ogos lalu," katanya.

Menurutnya, berpandukan semakan penyata bank dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Ipoh telah membuat tangkapan pasangan tersebut.

"Tiga keping kad bank dan dua telefon bimbit telah dirampas dan mereka direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!