Najib berhak beri cadangan sebagai Ahli Parlimen UMNO

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan sudah menjadi tanggungjawab beliau sebagai Ahli Parlimen UMNO untuk mengutarakan cadangan kepada parti itu.

Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan cadangan atau lebih tepatnya, meletakkan pilihan yang UMNO ada dalam senario semasa sebagai satu perkara lazim dilakukan dalam parti itu sejak dahulu.

"Sebagai salah seorang Ahli Parlimen UMNO, saya bawa tiga cadangan dalam mesyuarat semalam kerana itulah tujuan kami bertemu.

"Ia adalah untuk berbincang dan menentukan hala tuju UMNO pasca Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan Raja-raja Melayu menolak permintaan darurat kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Semua diberi peluang untuk mengutarakan pandangan masing-masing. Ini adalah amalan lazim dalam UMNO," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Beliau mengulas pelbagai reaksi berhubung beberapa cadangannya termasuk untuk bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Ahli Parlimen UMNO semalam.

Beliau mengaku mengutarakan kerjasama itu namun maksud sebenar ialah cadangan untuk UMNO bekerjasama bersyarat dengan Anwar tanpa DAP sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.

"Dua lagi cadangan adalah untuk mendapat persetujuan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan pada suatu tarikh yang tetap pada masa depan setelah pandemik koronavirus (Covid-19) terkawal.

Artikel Berkaitan:

"Ia demi memulihkan kestabilan politik serta cadangan bahawa UMNO teruskan kerjasama dengan PN dengan syarat UMNO diberikan lebih peranan dalam kerajaan untuk menentukan hala tuju ekonomi.

"Fahamkan, ia adalah cadangan-cadangan untuk diperbincangkan. Bukan kata muktamad... cadangan untuk kita berbincang sahaja. Belum bekerjasama pun," katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa selain UMNO, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad malah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Pas juga pernah menjalinkan kerjasama dengan Anwar.

Selain itu, beliau turut menamakan dua bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini menjadi menteri kerajaan iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin.

Katanya lagi, tujuan mesyuarat semalam adalah untuk berbincang hala tuju dan menilai pelbagai cadangan dan sebarang kemungkinan berlaku demi kepentingan parti dan kebaikan rakyat dan negara.

"Kalau bukan untuk bincang pelbagai kemungkinan, kenapa pula kita nak bermesyuarat? Bukan bermaksud kita mesti laksanakan setiap cadangan.

"Sebaliknya cadangan diperbincangkan dengan mendalam oleh setiap yang hadir. Ada yang tuduh saya pencinta atau BFF (best friend forever) Anwar.

"Malah ada mengeluarkan kembali foto saya menziarahi Anwar di hospital. Saya melawat ramai pemimpin politik ketika mereka sakit biarpun tidak sehaluan dalam politik," katanya.

Beliau kecewa apabila ada pihak menuduh cadangan menyokong Anwar itu bagi melepaskan diri daripada tuduhan yang sedang dihadapi di mahkamah termasuk menganggap beliau sebagai 'gila kuasa'.

"Tapi perlu ingat bahawa ramai yang kata begitu juga masa kita bersetuju untuk mewujudkan PN walaupun saya kata saya tidak mahu jawatan dan saya mahu kes-kes saya diteruskan untuk bersihkan nama saya melalui proses pengadilan," katanya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa ketiga-tiga cadangan yang telah diutarakan itu adalah berdasarkan kepentingan parti dan kebaikan negara yang tunjangnya adalah rakyat.