Hampir 3,000 orang hilang kerja di Perak

Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak hari ini mencatat sejarah apabila buat pertama kali sejak 72 tahun (1948) menyaksikan sepasang Petarana Diraja ditempatkan di dalam dewan yang dikhaskan untuk Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak. - Foto Bernama
Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak hari ini mencatat sejarah apabila buat pertama kali sejak 72 tahun (1948) menyaksikan sepasang Petarana Diraja ditempatkan di dalam dewan yang dikhaskan untuk Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Seramai 2,975 pekerja daripada pelbagai sektor di Perak dilaporkan hilang pekerjaan sejak awal tahun ini.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, daripada jumlah itu, sektor perkilangan merekodkan kes pemberhentian tertinggi iaitu 683 pekerja diikuti sektor perhotelan dan penyediaan makanan iaitu 590 orang.

Menurutnya, sektor pemborongan dan peruncitan juga mencatatkan jumlah pemberhentian agak tinggi iaitu 522 orang sementara lain-lain sektor 1,180 pekerja.

"Dalam membantu pekerja dan penganggur terkesan ini, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia telah menyediakan pelbagai pakej rangsangan.

"Antaranya program perkhidmatan pekerjaan yang mana sebanyak sembilan sesi temuduga terbuka dan empat karnival telah diadakan di negeri ini dengan tawaran 9,611 peluang pekerjaan baharu daripada pelbagai sektor perindustrian.

"Di peringkat kerajaan negeri, antara inisiatif dan langkah yang dilaksanakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Fasa 2 adalah Program Transformasi Pekerjaan (Work-Pro) dengan sasaran seramai 1,500 peserta bermula Jun sehingga Disember 2020.

"Sehingga kini, seramai 402 peserta telah menjalani latihan untuk fasa 1 bermula Jun sehingga September lalu melibatkan 15 jenis kursus jangka pendek yang bertujuan memberi nilai tambah 'skills to survive' dalam mengaplikasi latihan serta mewujudkan perkhidmatan baharu," katanya ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Dr Abdul Aziz Bari (DAP-Tebing Tinggi) mengenai impak pandemik koronavirus (Covid-19) terhadap sektor pekerjaan di Perak.

Razman berkata, di bawah agensi pelaksana Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak), kerajaan negeri telah mengambil pendekatan jangka pendek (quick win) dan panjang (long term) dalam meningkatkan taraf sosioekonomi serta kehidupan rakyat dengan membawa peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh industri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bermula Jun sehingga September lalu, sebanyak 2,247 jawatan kosong telah diterima oleh Pasak meliputi sektor pembuatan dengan 770 kekosongan, automotif (881), perkhidmatan (122) serta 474 kekosongan bagi lain-lain sektor peruncitan, industri makanan dan perladangan.

"Sehingga kini, sebanyak 277 pencari kerja telah berjaya dan disenarai pendek oleh industri di mana masih terdapat 1,970 kekosongan jawatan yang boleh dimohon dan diisi oleh rakyat Perak," katanya.