1,000 pelapis baharu dalam lima tahun

Megat D Shahriman Zaharudin
Megat D Shahriman Zaharudin
A
A
A

PERSATUAN Hoki Kuala Lumpur (PHKL) optimis 1,000 pelapis baharu dapat dibentuk dalam lima tahun lagi menerusi inisiatif pembudayaan kelab hoki itu.

Menurut Presiden PHKL, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, pelbagai pendekatan sedang giat dijalankan badan induk hoki Kuala Lumpur itu dalam usaha mengembalikan status Kuala Lumpur sebagai kuasa hoki negara.

Katanya, terbaharu PHKL mengesahkan merekrut empat pasukan baharu – Hockey-Lah, Hockademy, KLSSRC dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai ahli gabungan dan ahli Kehormat semalam.

“Ini merupakan antara inisiatif baharu kami dengan mengajak kelab hoki di Kuala Lumpur memastikan mereka berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan (PJS) atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sebelum diterima menjadi ahli gabungan PHKL.

“Kami percaya inisiatif pembudayaan kelab hoki antara formula penting dalam melahirkan kelompok besar pemain hoki di peringkat akar umbi, tidak cukup jika hanya terlalu bergantung kepada bakat yang diasuh oleh sekolah," katanya hari ini.

Tambah Megat Shahriman, konsep ini sudah lama dipraktiskan kuasa hoki utama dunia hasil pemerhatiannya sepanjang melakukan jelajah ke lima negara di Eropah seperti Belanda, Belgium, Perancis, Jerman dan Itali tahun lalu.

“Di sana sistem hokinya tidak hanya tertumpu kepada pembangunan di peringkat sekolah semata-mata tetapi kelab-kelab hoki juga memainkan peranan berkesan dengan mempunyai program akademi untuk kanak-kanak.

“Atas sebab itu sekembalinya saya dari Eropah, saya terus menubuhkan Hockademy untuk beraksi dalam Liga Hoki Malaysia 2020 dan kami juga mempunyai program akar umbi yang dikenali dengan nama Program Hocka Kids.

Artikel Berkaitan:

“Tidak lupa juga kepada Kelab Hockey-Lah dan Matador yang turut giat bergerak secara profesional menyediakan platform untuk pemain dewasa dan cilik beraksi. Ini yang kita mahukan,” katanya yang juga pemilik Hockademy.

Pada masa sama, Megat D Shahriman memberi jaminan untuk mempelbagaikan lagi aktiviti hoki di Kuala Lumpur supaya dapat meyakinkan kelab di Lembah Klang untuk bergiat aktif dalam sukan ini.

Sebagai rekod, PHKL ketika ini mempunyai 27 ahli gabungan dan bersama sembilan ahli kehormat.