Sarjan didakwa terima rasuah RM8,000

Ibrahim (tengah) dikawal anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas mengaku tidak bersalah menerima rasuah RM8,000.
Ibrahim (tengah) dikawal anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas mengaku tidak bersalah menerima rasuah RM8,000.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang anggota polis berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM8,000 pada April lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Ibrahim Sabdi @ Azman, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh didakwa menerima suapan wang tunai sebanyak RM4,000 daripada Mohd Khairul Azwani Mohamed Nor, 34.

Rasuah itu sebagai dorongan untuk melepaskan Mohd Radzi Abd Ghani, 40, yang ditangkap mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun pada jam 1 petang di Bahagian Narkotik IPD Pasir Puteh pada 7 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, Ibrahim didakwa sekali lagi menerima suapan sebanyak RM4,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk melepaskan Mohd Radzi di lokasi sama pada jam 8 malam April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Ibrahim boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili oleh peguam Mohamed Yazzer Azzad Zainuddin.

Noor Hamizah memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, Mohamed Yazzer memohon jumlah ikat jamin yang rendah dengan alasan anak guamnya bakal melangsungkan perkahwinan Disember ini dengan seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Zaman menetapkan ikat jamin sebanyak RM16,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan syarat tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di SPRM Kota Bharu setiap awal bulan.

Tertuduh membayar ikat jamin dan kes disebut semula pada 29 November depan.