Covid-19: Aktiviti sosial di Ketengah Jaya ditangguhkan

Notis penangguhan aktiviti sosial di Ketengah Jaya, Dungun berikutan kes Covid-19.
Notis penangguhan aktiviti sosial di Ketengah Jaya, Dungun berikutan kes Covid-19.
A
A
A

DUNGUN - Aktiviti sosial seperti keramaian, kenduri dan program berskala besar di Ketengah Jaya ditangguhkan selama 14 hari bermula 26 Oktober hingga 9 November ini berikutan peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di sana.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Dungun, Anuar Awang berkata, selain aktiviti berkenaan, semua pasar malam di kawasan itu juga ditangguhkan bermula tempoh sama.

Menurutnya, keputusan itu diambil sebagai langkah proaktif bagi mencegah penularan dan memutuskan rantaian Covid-19 di daerah Dungun dan Ketengah Jaya khususnya.

“Masyarakat disarankan untuk lebih menekankan aspek amalan normal baharu seperti sentiasa memakai pelitup muka ketika keluar rumah, sentiasa mencuci tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman dan melakukan penjarakkan fizikal.

“Jika ada individu tidak sihat, mereka diminta tidak bergerak ke tempat awam sebaliknya segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kesihatan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Anuar turut menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung situasi terkini Covid-19.

Sehingga semalam, Terengganu merekodkan 176 kes positif Covid-19 dengan 21 kes aktif dan daerah Dungun merekodkan kes positif paling banyak iaitu 53 kes.

Terengganu juga mencatatkan empat jenis kluster iaitu Kluster Makekar, Kluster Bah Tanjung, Kluster Bah Sahabat, dan Kluster Bah Bemban.

Artikel Berkaitan: