Guardiola menyesal tak beli penyerang

Guardiola (kiri) mengakui menyesal tidak membeli penyerang selepas Aguero kembali mengalami kecederaan.
Guardiola (kiri) mengakui menyesal tidak membeli penyerang selepas Aguero kembali mengalami kecederaan.
A
A
A

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola mengakui menyesal tidak membeli penyerang baharu pada jendela perpindahan selepas penyerang utamanya Sergio Aguero mengalami kecederaan hamstring ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang West Ham United Sabtu lalu.

Kecederaan Aguero itu menyaksikan City terus menghadapi krisis di jentera serangan selepas seorang lagi penyerangnya Gabriel Jesus turut mengalami kecederaan dan memerlukan masa untuk kembali pulih.

Guardiola menegaskan bahawa City memang berhasrat untuk membeli penyerang, namun tidak dapat berbuat demikian kerana kekangan kewangan yang dihadapi pasukan.

"Sekiranya anda memutuskan untuk membeli penyerang, ia harus sebagus seperti Jesus dan Arguero. Tetapi masalah besar ialah kami tidak mampu.

"Bukan saya katakan bahawa kelab tidak mahu dapatkan penyerang, sudah tentu mereka mahu memastikan pasukan menjadi kuat. Kecederaan adalah perkara yang sukar dijangka dan semua orang tidak mahu ia berlaku," katanya.

Dalam masa sama, Guardiola tidak dapat memberikan tempoh masa yang diperlukan pemain kebangsaan Argentina itu untuk kembali beraksi tetapi menjangkakan penjaring gol terbanyak kelab itu bakal berehat sebulan sebelum pulih sepenuhnya.

Beliau turut menafikan Aguero dipaksa bermain selepas belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut yang dialaminya sebelum musim bermula.

"Sergio mengalami kecederaan dalam perlawanan sebelum ini. Dan anda mengetahui apabila anda terlepas perlawanan hampir lima bulan, anda berdepan risiko.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak memaksanya untuk kembali beraksi. Kami telah cuba bersabar menantikan dia kembali bersama pasukan, tidak memaksa pihak perubatan. Namun, kami mengetahui dia masih tidak berada di tahap terbaik.

"Tetapi dia telah menampilkan aksi yang penting ketika berdepan West Ham selama 55, 60 minit. Malangnya, satu aksi dalam separuh masa pertama, dia kurang bernasib baik, cuba untuk menghalang hantaran jauh dan berasakan sesuatu. Kami berharap dia akan pulih sepenuhnya," katanya.