Senat AS sahkan pelantikan Amy Coney Barrett duduki mahkamah tinggi

Amy Coney Barret
Amy Coney Barret
A
A
A

WASHINGTON - Senat Kongres Amerika Syarikat (AS) mengesahkan pelantikan Amy Coney Barrett bagi menduduki mahkamah tertinggi negara itu mengukuhkan majoriti 6-3 Mahkamah Agung konservatif, lapor agensi berita Anadolu.

Undian sebanyak 52 menyokong berbanding 48 menentang itu menyaksikan seorang Ahli Kongres Republikan, Susan Collins dari Maine mengetepikan pendirian partinya apabila beliau menyertai semua ahli dewan Demokrat dan bebas membantah pencalonan pada tahun pilihan raya presiden.

Pencalonan Barrett ke kerusi hakim mahkamah agung itu adalah kejayaan tiga kali berturut-turut Presiden Donald Trump ketika penggal pertama pemerintahannya selepas Hakim Neil Gorsuch dan Brett Kavanaugh, meskipun Ketua Majoriti Senat, Mitch McConnell pada 2016 menyekat calon yang dikemukakan bekas Presiden, Barack Obama.

Pada tahun itu, McConnell enggan memberi laluan untuk perbahasan dan pencalonan Hakim Mahkamah Litar, Merrick Garland berdasarkan tanggapan, tidak sesuai untuk membuat pemilihan sebelum rakyat Amerika memilih presiden baharu.

Berdasarkan duluan tindakan McConnell itu, ahli Demokrat membantah pencalonan itu kali ini.

Bagaimanapun, McConnell kali ini mengetepikan duluan berkenaan selepas kematian Hakim Mahkamah Agung, Ruth Bader Ginsburg pada September, kurang dua bulan sebelum Pilihan Raya Presiden.

Sesetengah Senator Demokrat mengetengahkan pandangan mengenai tindakan menyesakkan mahkamah atau menambah bilangan hakim yang menduduki badan tertinggi itu.

Jumlah hakim ditetapkan oleh Kongres dan ahli Senat ialah sembilan sejak 150 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Idea 'menyesakkan' mahkamah tinggi atau menambah bilangan hakim, ditolak oleh kedua-dua parti apabila mereka mereka menguasai kerajaan kerana bimbang terhadap sebarang tindak balas apabila berlaku peralihan kuasa.

Bagaimanapun, idea berkenaan mula mendapat perhatian beberapa pemimpin Demokrat selepas pencalonan Barrett.

Meskipun menyatakan beliau tidak menyokong idea berkenaan, calon parti Demokrat bagi pilihan raya presiden, Joe Biden tidak menolak sepenuhnya cadangan itu andai menang dalam pilihan raya 3 November ini.

Katanya, beliau akan membentuk jawatankuasa dwipartisan untuk mencadang perubahan di mahkamah agung.

Barrett dijadual mengangkat sumpah jawatan di Rumah Putih. - Bernama