Bantuan pasca moratorium Bank Islam dilanjut sehingga Jun 2021

No Image Caption
A
A
A

BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) komited untuk membantu pelanggan mendepani tempoh semasa yang mencabar khususnya susulan peningkatan kes positif koronavirus (Covid-19) di seluruh negara.

Justeru, bantuan pembayaran bersasar yang ditawarkan kepada mereka yang hilang pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan bulanan terus ditawarkan sehingga 30 Jun 2021.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkata, sebagai alternatif, pihak bank menyediakan pilihan penjadualan dan penstrukturan semula kepada pelanggan yang tidak terkesan melalui kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan gaji tetapi masih memerlukan bantuan bagi membolehkan mereka mengatur semula aliran kewangan masing-masing.

“Sejak bermulanya pelaksanaan moratorium automatik pada April 2020, kami secara konsisten telah mendekati para pelanggan yang memerlukan pelan pembayaran semula yang lebih khusus.

"Sehingga kini, kadar kelulusan permohonan bagi bantuan pascamoratorium untuk pelanggan perniagaan adalah hampir 100 peratus.

Mohd Muazzam Mohamed
Mohd Muazzam Mohamed

"Sementara bagi pelanggan runcit, kami meluluskan 100 peratus daripada jumlah permohonan yang lengkap dengan dokumen sokongan yang mana 43 peratus kelulusan untuk penangguhan selama tiga bulan dan baki 57 peratus kelulusan di bawah pelan pengurangan ansuran selama enam bulan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, pihak bank juga giat menghubungi pelanggan yang terkesan tetapi masih belum menghantar dokumen sokongan yang diperlukan bagi permohonan bantuan pembayaran semula bersasar mereka dan proses permohonan turut dipermudahkan bagi membantu pelanggan.

Artikel Berkaitan:

“Kami sedar terdapat pelanggan yang mungkin terus mengalami tekanan aliran tunai ekoran pandemik yang sedang melanda dan memerlukan sokongan tambahan bagi membolehkan mereka menguruskan keadaan kewangan dengan lebih baik.

"Sehubungan itu, Bank Islam sentiasa bersedia untuk berbincang dan menyediakan penyelesaian kewangan terbaik bagi membantu mereka mendepani keadaan yang mencabar ini," katanya.

Mohd Muazzam berkata, setakat ini, sebanyak 98 peratus pelanggan Bank Islam telah menyambung semula komitmen

pembayaran pembiayaan mereka dan ia dapat memastikan kecairan serta sumber kewangan sentiasa tersedia bagi membolehkan bank itu terus memberikan sokongan kepada individu dan perniagaan lain.

Untuk makluman lanjut, sila layari www.bankislam.com/COVID-19.