X

Kindly register in order to view this article
!

Erdogan desak boikot barangan Perancis

Sebuah rak jualan tidak lagi menjual barangan buatan Perancis di bandar raya Kuwait pada 23 Oktober lalu bagi memprotes kartun Nabi Muhammad SAW yang dijadikan bahan pengajaran di sebuah sekolah di pinggir Paris. - Foto AFP
A
A

ANKARA - Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam menyertai desakan memboikot barangan Perancis sekali gus meningkatkan 'kebuntuan' hubungan antara negara itu dengan negara-negara Islam berhubung kebebasan bersuara.

Erdogan sebelum ini telah mengetuai penentangan terhadap Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang telah mempertahankan kebebasan bersuara dan nilai-nilai sekular negaranya dan berikrar bahawa Paris tidak akan 'menolak (penggunaan kartun)'.

Kenyataan itu dibuat selepas kepala seorang guru sebuah sekolah di negara berkenaan, Samuel Paty dipenggal oleh seorang remaja etnik Chechen berusia 18 tahun, Abdullah Anzorov di pinggir Paris pada 16 Oktober lalu kerana menunjukkan kepada para pelajarnya kartun Nabi Muhammad SAW.

Anzorov kemudian mati ditembak pihak berkuasa Perancis.

Kartun itu yang sebelum ini disiarkan di majalah satira Charlie Habdo pada tahun 2015 telah menyebabkan satu serangan berdarah di pejabatnya sehingga mengakibatkan 12 orang terbunuh.

Bagaimanapun, guru berkenaan memberikan pilihan kepada murid-murid yang beragama Islam untuk keluar daripada kelas sebelum beliau menunjukkan kartun tersebut sebagai bahan pengajaran kerana tidak mahu hati mereka terguris.

Semalam, Presiden Turki mendesak penduduk di dunia Arab supaya tidak membeli barangan Perancis.

"Jangan memberikan pengiktirafan kepada barang-barang Perancis, jangan belinya," kata Erdogan.

Sebelum ini, beliau mencetuskan kegemparan pada hujung minggu lalu dengan menyatakan Macron perlu melakukan pemeriksaan mental dalam satu ucapan di televisyen di Ankara.

Selepas Turki dituduh oleh Perancis kerana kekal mendiamkan diri berhubung pembunuhan Paty, jurucakap Erdogan, Ibrahim Kalin semalam mengutuk kejadian tersebut dengan menyatakan "tiada apa-apa (pendorong)" yang mewajarkan serangan tersebut dilakukan.

Barang-barang buatan Perancis dilaporkan telah ditarik daripada rak-rak jualan di Qatar dan Kuwait serta di negara-negara lain manakala penduduk di Syria telah membakar gambar Macron, malah bendera-bendera negara itu juga dibakar di ibu kota Libya, Tripoli.

Pada awal bulan ini, Macron mendedahkan rancangannya untuk mempertahankan nilai-nilai Perancis bagi menentang gerakan "pemisahan Islam (daripada nilai-nilai sekular" dan menggambarkan agama itu kini dalam 'krisis'.

Pendiriannya telah mencetuskan ketegangan dengan Turki dan pada Sabtu lalu, Paris mengumumkan ia memanggil pulang utusannya ke Ankara selepas Erdogan mempersoalkan kewarasan Macron.

Kenyataan Macron juga telah dibidas di negara-negara Islam termasuk Pakistan dan Maghribi.

Kerajaan yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Libya iaitu Permuafakatan Kebangsaan turut membidas kenyataannya dan meminta satu permohonan maaf daripadanya.

Kumpulan Hamas di Palestin, Taliban di Afghanistan dan Hezbollah di Lubnan turut mengeluarkan kenyataan membidas Perancis.

Para penunjuk perasaan juga berkumpul di luar kedutaan Perancis di Baghdad, Iraq dengan seorang ulama meminta permohonan maaf daripada pemimpin Perancis.

Sementara itu di Algiers, Algeria, Majlis Islam Teringgi membidas Macron kerana mendakwanya mengeluarkan 'kempen mudarat' terhadap golongan Muslim. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!