Doktor kena tipu lebih RM20,000

Seorang doktor kerugian RM20,168,60 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN pada Sabtu lalu.
Seorang doktor kerugian RM20,168,60 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN pada Sabtu lalu.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Seorang pegawai perubatan berusia 27 tahun kerugian RM20,168 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, doktor yang berkhidmat di sektor swasta itu menerima panggilan daripada pegawai LHDN cawangan Kelantan yang memperkenalkan diri sebagai Datuk Ridzuan.

Menurutnya, pegawai LHDN itu mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai perniagaan selama 18 bulan lalu yang didaftarkan atas namanya.

"Mangsa menafikannya, namun panggilan berkenaan disambungkan kononnya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan sebelum dimaklumkan namanya disyaki terlibat dalam kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang.

"Mangsa diberitahu pihak pendakwa raya akan menghubunginya untuk membantu kes pengadu dan pihak mereka akan menjalankan siasatan selain meminta dia memberikan kerjasama dengan mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Anbalagan berkata, pada hari sama mangsa menerima lebih 12 mesej kod pengesahan transaksi dan dia diminta untuk menyerahkan kod terbabit kepada polis untuk menyelesaikan kes berkenaan.

Katanya, mangsa yang curiga melakukan semakan di sebuah bank di Pantai Jerejak semalam sebelum mendapati wang berjumlah RM20,168,60 hilang.

"Menyedari dirinya terperangkap dengan sindiket penipuan itu, mangsa tampil membuat laporan polis. Walaupun kes seperti ini sering dilaporkan berlaku, namun masih ada yang terpedaya dengan tipu muslihat sindiket.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon daripada orang tidak dikenali dan jangan sesekali memberikan sebarang maklumat peribadi atau bank kepada pihak meragukan," katanya.