X

Kindly register in order to view this article
!

Harga runcit pelitup muka 70 sen seunit

Penurunan harga pelitup muka mengambil kira keperluan rakyat untuk terus mengamalkan normal baharu.
A
A

PUTRAJAYA - Harga runcit bagi seunit pelitup muka tiga lapis diturunkan daripada RM1 kepada 70 sen berkuatkuasa 1 November depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, harga borong pelitup muka berkenaan juga diturunkan daripada 95 sen kepada 65 sen seunit.

Menurutnya, KPDNHEP telah membuat kajian semula harga pelitup muka dengan melibatkan pengeluar tempatan dan pengimport.

"Harga runcit bagi pelitup muka N95 ialah RM6 manakala borong RM5 seunit.

"Penurunan harga itu mengambil kira keperluan untuk rakyat terus mengamalkan normal baharu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, harga baharu itu akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi perintah itu.

Katanya, KPDNHEP sentiasa memastikan bekalan pelitup muka dan pematuhan kepada harga maksimum yang telah ditetapkan melalui pemantauan serta pemeriksaan yang berterusan di semua premis perniagaan termasuk kedai dalam talian.

Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati pematuhan sangat memuaskan kerana hampir semua peniaga menjual pelitup muka sama ada pada paras harga maksimum RM1 seunit atau lebih rendah.

"Kementerian juga telah membuat pemantauan terhadap status pengeluaran dan pengedaran pelitup muka di semua 12 kilang memproses pelitup muka tempatan.

"Sejumlah 141 juta unit pelitup muka telah dikeluarkan oleh semua pengilang dan diedarkan untuk jualan ke dalam pasaran tempatan bagi bulan April sehingga September 2020," katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP telah menjalankan 67,217 pemeriksaan dan pemantauan harga serta bekalan bagi pelitup muka di seluruh negara sejak 29 Januari sehingga 25 Oktober lalu.

"Tindakan pemeriksaan tersebut berjaya menghasilkan sebanyak 73 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM 543,737.40 dan melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM518,400," katanya.

Pada 15 Ogos lalu, KPDNHEP mewartakan harga maksimum pelitup muka tiga lapis iaitu 95 sen seunit bagi jualan borong manakala RM1 untuk harga runcit.

ARTIKEL BERKAITAN: Harga pelitup muka ditetapkan RM1

Harga pelitup muka turun lagi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!