GPMS bantu pelajar terkandas di kampus

Mohd Izham (tengah) bersama sebahagian pelajar IPG Kampus Dato’ Razali Ismail selepas penyerahan kit makanan.
Mohd Izham (tengah) bersama sebahagian pelajar IPG Kampus Dato’ Razali Ismail selepas penyerahan kit makanan.
A
A
A

KUALA NERUS - Nasib 300 pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail yang terkandas di kampus ekoran pandemik koronavirus (Covid-19) mendapat perhatian Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Terengganu.

GPMS Terengganu tampil menghulurkan bantuan berupa kit makanan asas seperti roti, kaya dan air mineral bagi meringankan beban mereka.

Pengerusi GPMS Terengganu, Mohd Izham Ahmad berkata, pihaknya menyalurkan bantuan itu selepas mendapat permohonan daripada Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) setelah 300 penuntut terpaksa tinggal di kampus sejak 1 September lalu.

“GPMS Negeri Terengganu sentiasa bersedia membantu mahasiswa yang memerlukan bantuan ketika berada di kampus. Kita harap mereka bertenang dan dapat menjalani kehidupan dengan baik di sana.

“Kami faham perasaan mereka namun terpaksa akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Izham (dua dari kiri) bertanya khabar penuntut IPG Kampus Dato’ Razali Ismail yang terkandas di kampus.
Mohd Izham (dua dari kiri) bertanya khabar penuntut IPG Kampus Dato’ Razali Ismail yang terkandas di kampus.

Sumbangan tersebut diserahkan kepada Yang Dipertua JPP, Ahmad Akmal Haikal Ahmad Nizam di IPG Kampus Dato’ Razali Ismail. Hadir sama Pengarah IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, Dr Azman Jusoh dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Yahaya Osman.

Menurut Mohd Izham, beliau yakin kerajaan tidak pernah mengetepikan kebajikan siswa dan GPMS sendiri bersedia membantu keperluan kumpulan berkenaan sepanjang menjalani kehidupan di kampus dalam tempoh PKPB.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menghargai peranan yang turut dimainkan pelbagai pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) terhadap pelajar terlibat sama ada dari segi pemberian bantuan makanan mahupun sokongan moral.

“Kita sentiasa bersedia membantu mana-mana siswa yang perlukan bantuan dan mereka boleh hubungi kita,” katanya.