49 murid dan guru SK (F) Raja Alias 3 disaring

SK (F) Raja Alias 3 diarahkan tutup selama tujuh hari bermula Ahad lalu (25 Oktober) berikutan seorang murid sekolah itu disahkan positif Covid-19.
SK (F) Raja Alias 3 diarahkan tutup selama tujuh hari bermula Ahad lalu (25 Oktober) berikutan seorang murid sekolah itu disahkan positif Covid-19.
A
A
A

JEMPOL- Seramai 40 murid dan sembilan orang guru Sekolah Kebangsaan Felda (SK) (F) Raja Alias 3 di sini telah disaring Ahad lalu di Klinik Kesihatan Bahau susulan terdapat kes positif koronavirus (Covid-19) di sekolah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh berkata, individu yang disaring itu merupakan kontak rapat kepada seorang murid yang disahkan positif wabak itu pada Jumaat lepas.

Beliau berkata, setakat ini keputusan saringan terhadap 48 individu itu negatif dan seorang lagi masih menunggu keputusan.

"Kontak rapat yang dikenal pasti itu akan dikuarantin di rumah masing-masing selama14 hari," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu panik dan sentiasa mengamalkan normal baharu yang telah digariskan oleh kerajaan serta mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Terdahulu, SK (F) Raja Alias 3 diarahkan tutup selama tujuh hari bermula Ahad lalu (25 Oktober) berikutan seorang murid sekolah itu disahkan positif Covid-19.

Sekolah tersebut merupakan sekolah ke empat diarahkan tutup susulan wabak itu di Negeri Sembilan selain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin di Tampin, SMK Dato' Undang Haji Adnan (DUHA), Rembau dan Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS), Seremban.

Bagaimanapun, menerusi kenyataan media Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semua institusi pendidikan di kawasan zon merah di daerah Seremban turut ditutup bermula 25 Oktober sehingga 9 November depan.

Artikel Berkaitan:

Ia melibatkan sebanyak 177 institusi pendidikan di seluruh daerah Seremban membabitkan sekolah rendah dan menengah di bawah KPM, institusi pendidikan guru serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.