Keputusan kekal sokong PN langkah bijak

Gambar kecil: Othman Desa
Gambar kecil: Othman Desa
A
A
A

SHAH ALAM - Veteran UMNO (VUM) menyifatkan keputusan Majlis Tertinggi UMNO untuk kekal menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai keputusan bijak.

Pengerusinya, Datuk Othman Desa berkata, VUM amat gembira dan melihat keputusan tersebut diambil demi memastikan kestabilan negara dan kepentingan rakyat yang berdepan dengan wabak koronavirus (Covid-19).

"Keputusan UMNO ini menampakkan kematangan politik dan sikap jiwa besar pemimpin UMNO yang menjunjung kasih serta patuh dengan saranan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja agar meredakan ketegangan politik dan mengamalkan musyawarah.

"VUM yakin ahli akar umbi dan rakyat pastinya gembira dengan keputusan mendokong kerajaan PN yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menolak kerjasama dengan PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Majlis Tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat selama empat jam bermula jam 8.30 malam tadi sebelum mencapai kata sepakat untuk kekal menyokong kerajaan PN.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO kekal sokong kerajaan PN, tolak kerjasama PKR, DAP

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga memberitahu Majlis Tertinggi UMNO mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan DAP.

Dalam pada itu, Othman berkata, VUM amat bersetuju dengan cadangan Majlis Kerja Tertinggi UMNO agar rekonsiliasi nasional ( Perdamaian Nasional) disegerakan dengan melibatkan semua parti politik termasuk pembangkang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, VUM juga mengharapkan PM yg mengetuai kerajaan menjaga dan membuat penambahbaikan dengan UMNO dari segi hubungan dan kerjasama dengan berpaksikan nilai penghormatan dan konsensus politik.

"VUM juga merasa lega dan menyokong penuh keputusan UMNO untuk mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) supaya terus diperkasa dan dilaksanakan.

"Dengan keputusan dan pendirian tegas UMNO ini, VUM yakin politik negara akan stabil, kepentingan rakyat akan terjamin serta UMNO, BN dan MN bertambah kuat dan dihormati ahli parti dan rakyat," katanya.