Glomac catat jualan RM385 juta

Projek 121 Residences turut memacu peningkatan prestasi jualan Glomac bagi TK20.
Projek 121 Residences turut memacu peningkatan prestasi jualan Glomac bagi TK20.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] GLOMAC Berhad (Glomac) mencatatkan prestasi jualan baharu berjumlah RM385 juta iaitu kenaikan sebanyak 19 peratus pada tahun kewangan 2020 (TK20) berbanding tahun kewangan 2019 (TK19).

Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor berkata, peningkatan prestasi jualan dipacu terutama oleh kejayaan projek 121 Residences dan fasa pembinaan kediaman bertanah mampu milik di Saujana Perdana, Sungai Buloh.

“Prestasi jualan kukuh TK20 meningkatkan jualan belum dibil kepada RM650 juta pada akhir TK20 iaitu peningkatan 37 peratus berbanding RM476 juta pada TK19.

“Prestasi jualan kukuh pada TK20 dicapai berasaskan campuran produk positif dan kekuatan pembangunan Glomac yang disasarkan secara strategik kepada segmen mampu milik dan pasaran pertengahan,” katanya pada sidang media maya Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Glomac yang ke-36 di sini semalam.

Fateh Iskandar Mohamed Mansor
Fateh Iskandar Mohamed Mansor

Fateh Iskandar berkata, lembaran imbangan Glomac dalam tempoh itu tetap kukuh dengan kedudukan tunai yang meningkat kepada RM176.4 juta.

Menurutnya, tahap hutang bersih menyusut kepada 0.28 kali berbanding dana pemegang saham berjumlah RM1.1 bilion dan aset bersih sesaham milik pemegang saham Glomac pula berada pada paras RM1.42.

Kata beliau, memandangkan prestasi operasi syarikat yang memuaskan, lembaga pengarah mencadangkan pembayaran dividen satu peringkat akhir 1.0 sen sesaham biasa yang telah diluluskan oleh pemegang saham pada AGM itu yang mana bayaran tersebut mewakili pulangan dividen kira-kira 3.3 peratus.

Artikel Berkaitan:

Glomac akan melancarkan projek kediaman bertanah mampu milik dan pasaran pertengahan di Saujana Perdana, Sungai Buloh, Selangor
Glomac akan melancarkan projek kediaman bertanah mampu milik dan pasaran pertengahan di Saujana Perdana, Sungai Buloh, Selangor

Dengan prestasi memberangsangkan itu, Fateh Iskandar berkata, Glomac yakin jualan dan prestasi kewangan syarikat itu dijangka mampu dikekalkan oleh jualan belum dibil sebanyak RM660 juta (pada akhir suku pertama TK 2021 atau TK21) dan penyambungan aktiviti pembinaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tambahan lagi, Glomac bercadang melancarkan lebih banyak projek pada TK21. Pelancaran baharu ini terdiri daripada projek kediaman bertanah mampu milik dan pasaran pertengahan di Saujana Perdana di Sungai Buloh; Saujana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dan Saujana Jaya di Johor.

“Glomac akan terus memantau pelancarannya secara strategik, memanfaatkan portfolio pembangunan kukuh dengan Nilai Pembangunan Kasar (NPK) yang dianggarkan mencecah RM8 bilion yang mampu mengekalkan prestasi Glomac pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Fateh Iskandar berkata, mengambil kira penularan semasa koronavirus (Covid-19), AGM kali ini diadakan sepenuhnya di dalam talian dengan penyertaan jarak jauh menerusi penstriman secara langsung dan pengundian dalam talian.