BN bergolak kerana Anwar

Langkah 13 Oktober dilihat lebih menguntungkan Muhyiddin dan turut memanfaatkan Anwar dalam menguatkan kembali gabungan PH. UMNO paling tersepit.
Langkah 13 Oktober dilihat lebih menguntungkan Muhyiddin dan turut memanfaatkan Anwar dalam menguatkan kembali gabungan PH. UMNO paling tersepit.
A
A
A

BIBIT-BIBIT perpecahan dalam kalangan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mula terbit secara terbuka apabila terdapat segelintir pemimpin dalam parti itu secara lantang menyatakan sokongan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi calon Perdana Menteri.

Difahamkan cadangan itu dikemukakan oleh seorang pemimpin BN susulan kontroversi perisytiharan darurat yang melanda Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin dan turut mendapat sokongan daripada beberapa pemimpin lain.

Bagaimanapun, pandangan kumpulan kecil pemimpin berkenaan mendapat reaksi negatif daripada majoriti ahli Parlimen BN lain yang secara jelas menolak untuk mengadakan kerjasama dengan Anwar yang mereka sifatkan sebagai mendapat dukungan DAP iaitu seteru utama BN dan UMNO.

Bagi mereka, sokongan mana-mana Ahli Parlimen BN terhadap Anwar juga bererti parti itu harus menerima hakikat terpaksa bekerjasama dengan DAP yang secara tradisinya sejak lebih enam dekad lalu sentiasa berusaha menjatuhkan BN dan UMNO.

Anwar pula ialah musuh politik UMNO sejak 22 tahun lepas.

BN kini memiliki 42 kerusi Parlimen dengan UMNO menyumbang sebanyak 39 kerusi dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi.

Menurut beberapa sumber yang enggan dinamakan, para pemimpin yang dikatakan bersetuju dengan cadangan itu ialah Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; bekas Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

Najib
Najib

Ekoran sokongan terbuka yang dinyatakan dalam mesyuarat Ahli Parlimen BN yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur semalam, beberapa ahli parti terutama daripada UMNO dilihat memuat naik status di media sosial menolak cadangan tersebut dan meminta pemimpin berkenaan mengetepikan kepentingan diri.

Mereka turut mengingatkan bahawa parti itu juga akan kehilangan sokongan daripada akar umbi jika cadangan menyokong Anwar direalisasikan, selain mengingatkan pemimpin terbabit juga wajar ditolak oleh ahli parti BN dan UMNO.

Sementara itu, Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN menjelaskan bahawa sokongan kepada Anwar merupakan kerjasama bersyarat tanpa penyertaan DAP.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau telah mengemukakan beberapa cadangan ketika mesyuarat Ahli-ahli Parlimen BN yang diadakan di PWTC yang berlangsung hampir tiga jam bermula jam 1 petang semalam.

“Ada media portal laporkan seolah-olah saya mendesak semua Ahli Parlimen UMNO untuk sokong Anwar jadi Perdana Menteri (PM). Ini kurang tepat.

“Mesyuarat hari ini (semalam) adalah untuk semua ahli Parlimen membincangkan hala tuju parti dalam krisis Covid-19 dan kita diberi peluang untuk mengeluarkan pandangan masing-masing.

“Cadangan pertama saya adalah untuk UMNO mendesak satu tarikh yang tetap untuk Pilihan Raya Umum selepas Covid-19 terkawal.

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid

“Cadangan kedua saya ialah jika cadangan pertama ditolak PN, maka UMNO perlu terbuka kepada rundingan dengan parti politik lain termasuk parti Anwar jika UMNO masih tak berpuas hati dengan layanan dalam kerajaan PN selepas apa yang berlaku di Sabah.

“Bagaimanapun, cadangan saya ada syarat bahawa kerjasama dengan Anwar tidak melibatkan DAP,” katanya di laman Facebooknya malam tadi.

Sebelum ini, desas-desus sokongan kepada Anwar kedengaran selepas Ketua Pembangkang itu membuat pengumuman mendapat sokongan kukuh untuk menubuhkan kerajaan pada 23 September lalu.