Jangan takut kepada hantu dan syaitan

No Image Caption
A
A
A

KAWASAN tempat tinggal Merak Jalanan baru-baru ini dikejutkan dengan kemunculan suara misteri wanita ketawa tanpa henti pada waktu malam.

Memang seram menonton rakaman yang ditularkan dalam kumpulan WhatsApp jiran Merak Jalanan sehingga menjadi buah mulut penduduk setempat.

Sepanjang hidup Merak Jalanan ada jugalah pengalaman dengan alam mistik tetapi sampai kini belum pernah melihat gambaran sebenar hantu dengan mata kasar.

Peristiwa itu berlaku pada tahun 1997 apabila Merak Jalanan berpeluang tidur di sebuah rumah yang dibina pada zaman kolonial yang terletak di Ayer Itam, Pulau Pinang.

Selepas program kami selesai kira-kira jam 12 tengah malam, beberapa orang rakan turun ke dapur rumah banglo dua tingkat berwarna putih itu.

Tidak lama selepas itu, pintu dapur diketuk dengan kuat sebanyak tiga kali menyebabkan kami semua terkejut sebelum mengambil keputusan untuk membuka pintu tersebut.

Alangkah terkejut apabila kami mendapati terdapat kesan tapak kaki misteri di depan pintu dapur itu.

Gangguan terus berlaku apabila kami semua masuk tidur apabila terdengar bunyi seseorang berlari-lari di tingkat atas pada jam 3 pagi selama satu jam.

Artikel Berkaitan:

Itulah peristiwa aneh yang pernah dilalui Merak Jalanan dan tiada lagi sebarang kejadian pelik lagi selepas 25 tahun lalu.

Bagaimanapun, Merak Jalanan ingin berkongsi pesan seorang sahabat yang mengatakan bahawa manusia dijadikan ALLAH SWT dengan sebaik-baik kejadian, maka dengan kelebihan itu manusia tidak perlu takut dan gentar dengan makhluk ghaib.

Oleh itu, kita sebagai insan perlulah menguatkan hati dan perasaan bagi mengatasi rasa takut terhadap kewujudan hantu atau syaitan.