X

Kindly register in order to view this article
!

Bank tidak boleh ambil keuntungan sewenang-wenang

Marjan
A
A

SHAH ALAM - Persoalan berhubung bank-bank di negara ini yang didakwa membebankan peminjam dengan kadar faedah yang dikenakan sering diperdebatkan.

Ketua Jaminan Kualiti, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dan Kewangan Islam (ISRA), Dr Marjan Muhammad berkata, wujud perbezaan antara bank-bank komersial dengan bank berasaskan sistem Islam.

Menurutnya, walaupun bank komersial mengambil keuntungan daripada pinjaman yang diberikan tetapi mereka tidak boleh sewenang-wenangnya meletakkan nilai tersebut kerana perlu mematuhi arahan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Bagi bank seperti Bank Islam, mereka mengenakan kadar keuntungan jauh lebih rendah kerana dikawal selia oleh BNM di mana setiap bank perlu mengambil kira ia membebankan pelanggan atau tidak,” katanya.

Katanya, tidak dinafikan bahawa bank sebagai institusi komersial perlu mengambil keuntungan daripada pembiayaan yang diberikan.“Dalam konteks kewangan Islam, al-Quran menyatakan bahawa ALLAH menghalalkan jual beli tetapi mengharamkan riba.

“Saya ingin menyorot kisah sejarah apabila pemikir Islam pada tahun 1950 memberikan pandangan bahawa satu sistem Islam perlu diwujudkan selepas dijajah oleh Inggeris. Mereka datang dengan idea Islamisasi dan antara perkara yang ditekankan ialah ekonomi Islam berasaskan syariat di mana riba itu mesti dibanteras dan diharamkan,” katanya.

Marjan berkata, pada tahun 1970-an, berlaku peningkatan ekonomi di Timur Tengah apabila minyak dijumpai dan ramai orang Islam menjadi kaya.

“Bagaimanapun, ada pertanyaan iaitu dengan wang yang banyak itu, di manakah mereka mahu menyimpannya. Dari situlah tertubuhnya bank Islam pertama iaitu Dubai Islamic Bank pada tahun 1975, diikuti Islamic Development Bank di bawah OIC berpusat di Jeddah,” katanya.

Menyentuh mengenai peranan bank di Malaysia dalam soal wakaf, beliau berkata, sebanyak enam bank telah turut serta membangunkan dana wakaf.

“Ini menunjukkan bank bukan hanya menunggu dan menerima keuntungan daripada hasil pembiayaan yang diberikan, sebaliknya turut serta menjadi tangan yang menghulur.

“Pada tahun 2017, BNM mengeluarkan satu kertas konsep pengantaraan berasaskan nilai. Ada tiga objektif selain membuat keuntungan, bank juga mesti lihat kepada dua aspek lain iaitu sosial dan persekitaran. Tiga-tiga aspek ini digabungkan di mana institusi kewangan Islam perlu mencapainya,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!