Jadikan kisah Kalashnikov inspirasi

Kalashnikov
Kalashnikov
A
A
A

SIAPA yang tidak mengenali senjata AK-47 ciptaan Mikhail Timofeyevich Kalashnikov, bekas komander kereta kebal Rusia berpangkat sarjan semasa Perang Dunia Kedua.

Dia yang cedera semasa bertempur tidak diizinkan kembali ke medan perang lalu berazam mencipta senjata baharu yang bakal diagungkan tanah airnya.

AK-47 atau Avtomat Kalashnikova juga menjadi satu-satunya raifal yang paling banyak dihasilkan di dunia selain dibina secara berlesen oleh 12 buah negara. China, misalnya, adalah negara pengguna terbesar klon AK-47 menerusi raifal serupa buatan sendiri iaitu Type 56.

Tiga ciri utama senjata itu ialah ketahanan, lasak dan mudah dikendalikan. Rekaan raifal AK-47 juga telah melahirkan beberapa senjata lain seperti Valmet RK60 buatan Finland, Galil (Israel), Vektor R4 (Afrika Selatan), APS-95 (Croatia), FFV 890C (Sweden) dan AK (Bulgaria).

Raifal Galil yang digunakan tentera 25 buah negara pula menjadi asas penciptaan senjata lain oleh pihak ketiga seperti raifal MA buatan Myanmar, Bernardelli Mod.378 VB-SR (Itali) dan Insas (India).

Imej raifal Kalashnikov menjadi lambang perjuangan pada kebanyakan kumpulan revolusi sekitar tahun 1960-an dan 1970-an selain digambarkan sebagai perbezaan ideologi antara blok Barat dan Timur semasa era Perang Dingin.

Dianggarkan terdapat 200 juta raifal Kalashnikov dihasilkan termasuk versi yang lebih moden iaitu AKM dan AK-74.

Bagaimanapun, pemilihan AK-47 sebagai senjata masa hadapan tentera Rusia tidak melalui jalan mudah. Ia juga bukan kejayaan Mikhail seorang kerana pembinaannya melibatkan satu pasukan termasuk beberapa jurutera.

Artikel Berkaitan:

Mikhail tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang kejuruteraan sebaliknya menguasai kemahiran tersebut kerana minat pada kerja pertukangan. Sebelum menyertai tentera pada 1938, dia pernah bekerja di kilang besi dan pembuatan komponen senjata.

Bakatnya menarik minat pihak Ketua Direktorat Artileri Tentera Rusia untuk mengambil Mikhail menyertai pasukan perekacipta senjata baharu pada tahun 1942.

Banyak yang boleh diinspirasikan menerusi kegigihan Mikhail untuk bersaing dengan beberapa perekacipta senjata tersohor Rusia pada masa itu seperti Sergei Somanov, Vasily Degtyaryov dan Georgy Shpagin.

Atas sebab itu menjadi kebanggaan bagi mana-mana negara sekiranya menghasilkan raifal buatan sendiri.Penghasilan

Negara-negara tetangga Rusia, misalnya, telah lama menghasilkan raifal sendiri. Firma PT Pindad sebagai contoh bermula sebagai kilang pemasangan semua senjata buatan luar bagi tentera Indonesia sejak tahun 1950-an. Pada tahun 2006, PT Pindad menghasilkan raifal sendiri iaitu SS2-V1.

Kesungguhan industri pertahanan Singapura pula tidak perlu dipertikaikan. Syarikat ST Kinetics pada tahun 1970-an telah membina senjata M16 secara berlesen iaitu M16S1 sebelum digantikan dengan raifal buatan tempatan, SAR80.

Raifal SAR80 turut dieksport ke lapan negara lain. Pada tahun 1999, ST Kinetics menghasilkan raifal SAR21 yang turut digunakan tujuh negara termasuk pasukan khas Thailand, Indonesia, Brunei dan Peru. Setelah 20 tahun, SAR21 bakal digantikan dengan BR18.

Pemilihan raifal Syer AUG buatan Austria oleh Angkatan Tentera Malaysia menyaksikan negara diberi kebenaran mengilangkan senjata itu secara berlesen pada tahun 1991. Steyr AUG disifatkan antara raifal terbaik dengan rekaan termaju selain dipasang dengan pejera teleskopik.

Pada Mac 2004, syarikat usaha sama Malaysia-Austria iaitu Steyr Mannlicher (M) Sdn Bhd diwujudkan untuk menjadi pengeluar raifal termoden Steyr AUG3 yang bukan sahaja bagi kegunaan ATM tetapi akan dipasarkan ke luar negara.

Kerjasama ini telah meletakkan Malaysia untuk menjadi antara pengeluar senjata utama di dunia. Malangnya, cita-cita ini tidak kesampaian apabila kerjasama tersebut terhenti separuh jalan.

Sebenarnya, raifal bukanlah satu senjata yang memerlukan teknologi tertinggi, sebaliknya mampu sahaja dihasilkan asalkan pembinaanya mengikut hukum fizik dan balisitik.

Sebab itu kisah Kalashnikov wajar dijadikan inspirasi kerana Malaysia perlu melahirkan perekacipta seperti beliau untuk dimanfaatkan oleh pihak tentera.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu