Kemelut kepimpinan politik

No Image Caption
A
A
A

IKLIM panas politik Malaysia sejak kebelakangan ini menenggelamkan kerunsingan terhadap ancaman nyata pandemik koronavirus (Covid-19).

Kemelut perebutan kepimpinan utama kerajaan yang difikirkan akan reda dengan penumpuan terhadap usaha memerangi lekuk Covid-19 nampaknya tidak menepati telahan.

Natijahnya, tiga buah negeri dilanjutkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala kawasan di Negeri Sembilan pula dilaksanakan PKPB.

Yang pasti, terlalu banyak implikasi yang perlu dihadapi rakyat kebanyakan. Maka perasaan meluat dalam kalangan rakyat marhaen semakin memuncak.

Kemelut kepimpinan politik untuk mendapatkan tampuk utama kerajaan semakin membuak, melebihi memuncaknya tekanan ekonomi dan psikologi keselamatan rakyat marhaen yang bertungkus lumus membayar bil-bil dan komitmen dengan upah gaji yang terhad, menghadapi kesukaran akibat gangguan bekalan air yang sering berlaku, serta tekanan ketidaktentuan pekerjaan.

Ahli politik juga bertungkus lumus mencari jalan menyelamatkan diri dalam situasi tidak tentu ini, makanya cara mengumumkan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen mungkin salah satu jalan kreatif menyelamatkan diri masing-masing.

Begitu juga usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang dilihat sebagai tindak balas dalam perebutan kepimpinan politik berbagai penjuru ini.

Bagaimanapun, tidak dapat dilihat 222 ahli Parlimen ini berdebat soal etika masyarakat, kerukunan dan perpaduan Malaysia, soal keselamatan sumber makanan negara, peningkatan jenayah ataupun soal masa depan Undi 18 yang diluluskan oleh ahli Parlimen sendiri tanpa bantahan.

Artikel Berkaitan:

Menariknya, ahli politik sangat teruja dengan kemelut ini yang diketuai oleh golongan senior. Jika diamati, ia melibatkan mereka yang berumur 95 tahun, 83 tahun, 79 tahun, 73 tahun, 72 tahun dan 67 tahun.

Sedangkan rakyat Malaysia yang berumur 20 tahun hingga 59 tahun, berdasarkan data daripada Jabatan Statistik Malaysia, berjumlah 15.471 juta orang, dan merupakan kumpulan yang layak mengundi.

Jika diambil kira dengan mereka yang berumur 15 hingga 19 tahun pula, mereka ini merupakan potensi pengundi muda berdasarkan Undi18 yang bakal dilaksanakan Julai 2021 nanti.

Makanya separuh daripada orang muda di Malaysia dipimpin oleh pemimpin yang tergolong dalam kumpulan sejumlah 2.26 juta rakyat Malaysia.

Mungkin kerana itulah, kebanyakan orang muda dan rakyat marhaen semakin meluat dengan tarian politik Malaysia. Sokongan dan dukungan terhadap anak muda hanya sekadar meraih undi semata-mata.

Jika dibandingkan dengan beberapa negara dunia yang lain, sebagai contoh Finland, New Zealand, Ukraine, El Salvador, Andorra, Costa Rica, Bhutan, Qatar, Haiti, Austria, Guyana dan Korea Utara mempunyai pemimpin di bawah umur 40 tahun.

Perancis, Ireland, United Kingdom, Australia mahupun Indonesia dan banyak lagi negara dunia mempunyai pemimpin utama berumur di bawah 60 tahun.

Maka tidak hairanlah, masalah yang dihadapi oleh Malaysia ini sangat unik. Banyak pemimpin muda semakin hilang harapan terhadap corak politik dan kepartian di Malaysia, sedangkan mereka inilah yang berjuang atas nama parti.

Tetapi mungkin atas desakan dan tekanan orang lama, minat itu semakin menghilang. Mungkin sudah sampai waktunya, daya juang orang muda diberi perhatian.

Mereka perlu diangkat sebagai pemimpin, yang senior pula sebagai penasihat. Barulah wujud sinergi generasi yang bakal memberi manfaat pada Malaysia untuk mengorak langkah lebih baik.

Barulah kemakmuran bersama dapat dibina dan diperoleh. Dalam zaman yang semakin pantas dan tuntas ini, revolusi dan langkah disruptif mesti dilakukan.

Jika tidak, kemelut kepimpinan politik ini akan terus berlanjutan selanjut usia pemimpinnya.

Mereka perlu diangkat sebagai pemimpin, yang senior pula sebagai penasihat. Barulah wujud sinergi generasi yang bakal memberi manfaat pada Malaysia untuk mengorak langkah lebih baik.”

* Dr Mohd Azmir Mohd Nizah ialah Ketua Program Pasca Siswazah Generik Universiti Sains Islam Malaysia