Covid-19: Kota Kinabalu terus catat kes tertinggi

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Kota Kinabalu terus mencatat kes baharu positif koronavirus (Covid-19) yang tertinggi di Sabah dengan jumlah sebanyak 532 kes hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daripada jumlah tersebut, Kluster Penjara Kepayan menjadi penyumbang terbesar kes baharu di Kota Kinabalu iaitu sebanyak 439 kes.

Beliau berkata, berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini ialah sebanyak 927 kes dengan bilangan kematian seramai tujuh orang.

"Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi sebanyak 532 kes. Daripada jumlah ini, sebanyak 439 kes adalah dari Kluster Penjara Kepayan, manakala 14 kes daripada saringan bergejala, empat daripada saringan kendiri, 68 kes daripada saringan kontak rapat, empat kes daripada saringan kemasukan hospital dan tiga kes daripada saringan sebelum bekerja," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Masidi berkata, daerah Tawau pula mencatatkan kes kedua tertinggi iaitu sebanyak 81 kes

pada hari ini.

Daripada jumlah itu, katanya, Kluster Benteng mencatatkan sebanyak lima kes, selain Kluster Tanah Merah (tiga), saringan bergejala (lima), saringan kendiri (dua), saringan dalam komuniti (31), saringan kontak rapat (33) serta saringan kemasukan hospital dan saringan Brought In Dead (BID) masing-masing satu kes.

"Sabah juga hari ini mencatat satu kluster baharu iaitu Kluster Kapor di Kudat membabitkan 46 kes," katanya.

Artikel Berkaitan:

Masidi berkata, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Khazanah Indah dan Pangsapuri Mutiara Kasih di Lahad Datu serta Felda Umas, Kalabakan dilanjutkan lagi selama dua minggu bermula esok sehingga 9 November depan.

"Bagaimanapun, kelonggaran akan diberikan terhadap perniagaan kedai runcit untuk beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 6 petang bagi memberi peluang kepada penduduk sekitar membeli barang keperluan asas.

"Bagi PKPD di lokaliti Taman Mesra dan Taman Mawar di Sandakan pula akan dilaksanakan selama dua minggu bermula Rabu ini sehingga 10 November depan," katanya.

Terdahulu Masidi turut memaklumkan Sandakan mencatatkan sebanyak 64 kes, selain Kudat (47), Lahad Datu (46), Tuaran (28), Penampang (27), Putatan (23) dan Semporna (16).

Keningau dan Kinabatangan masing-masing mencatat 11 kes, Papar dan Kota Belud masing-masing 10 kes, Kunak (enam), Kota Marudu (empat), Pitas dan Telupid masing-masing tiga kes, Nabawan (dua) manakala Beaufort, Tenom dan Ranau masing-masing catat satu kes.