X

Kindly register in order to view this article
!

Undi awal pecah rekod 2016

Pengundi menunaikan tanggungjawab mereka di pusat pengundian awal di Madison Square Garden di New York kelmarin. - Foto Agensi
A
A

WASHINGTON - Pengundian awal pada Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2020 melangkaui jumlah praundi empat tahun lalu yang berlangsung sembilan hari menjelang pemilihan pada 3 November ini.

Kebanyakan pengundi memilih untuk menunaikan tanggungjawab mereka melalui undi pos atau di pusat mengundi awal walaupun terpaksa beratur dalam barisan panjang selama beberapa jam kerana bimbang dengan ancaman pandemik koronavirus (Covid-19) yang semakin meningkat.

Data diperoleh badan bebas US Election Project dikendalikan University of Florida mendapati hampir 60 juta mengundi sehingga semalam.

Laman Suruhanjaya Bantuan Pilihan Raya AS menyatakan jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding 57 juta yang mengundi di pusat mengundi awal atau melalui undi pos pada 2016.

Tinjauan mereka juga mendapati Demokrat yang menggalakkan pengundian awal mendahului dalam proses tersebut yang mungkin membolehkan calon presiden mereka, Joe Biden menarik nafas lega kerana tidak perlu membuat pecutan terakhir seperti Presiden Donald Trump demi untuk mengekalkan jawatannya di Rumah Putih.

Sejak beberapa bulan lalu, Trump tanpa mengemukakan bukti mendakwa undi pos boleh menyebabkan penipuan undi dan kebanyakan penyokong Republikan dijangka menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi.

Bagaimanapun, lonjakan kes jangkitan Covid-19 di seluruh negara dikhuatiri akan menyebabkan pengundi Republikan bimbang untuk keluar mengundi.

Profesor Sains Politik di University of Florida, Michael McDonald yang mentadbir US Election Project tersebut memberi amaran strategi penyokong parti Trump itu kelihatan lebih berisiko.

“Bagaimana jika ada segelintir pengundi buat keputusan akhir untuk tidak mengundi? Bagaimana jika pusat mengundi atau pejabat pengundian terpaksa ditutup kerana ancaman pandemik tersebut?” katanya menerusi Twitter.

US Election Project tersebut turut meramalkan jumlah pengundi yang akan memilih Presiden ke-46 AS dijangka mencecah lebih 150 juta orang berbanding kira-kira 137 juta orang pada 2016 dan mungkin angka tertinggi sejak Pilihan Raya Presiden AS 1908.

Beberapa kerusi panas terutama di Texas yang akan menentukan nasib Trump juga dijangka memecahkan rekod jumlah pengundian awal walaupun secara tradisi negeri itu merupakan kubu kuat calon Republikan sejak 1980.

“Pengundi di Texas mempunyai tempoh sehingga Jumaat ini untuk proses undi awal selain pada hari mengundi nanti. Tidak mustahil jumlah pengundi di negeri itu akan melangkaui total pada 2016,” kata McDonald lagi. - AFP

INFO

* Sejak 1908, tidak lebih 65 peratus pengundi menggunakan hak mereka pada Pilihan Raya Presiden AS.

* Lebih satu pertiga pengundi awal berasal daripada negeri mempunyai populasi paling padat; California, Texas dan Florida.

* Jumlah pengundi awal pada Pilihan Raya Presiden AS 2020 adalah lebih 42 peratus berbanding total rakyat Amerika yang mengundi pada 2016.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!