X

Kindly register in order to view this article
!

DAP minta Muhyiddin pecat Hamzah, Azmin

Liew Chin Tong
A
A

SHAH ALAM - DAP meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan cadangan memecat Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi membuka kerjasama dwipartisan di Dewan Rakyat.

Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong mendakwa kedua-dua pemimpin itu mewujudkan persekitaran politik toksik yang telah menyebabkan Kabinet membuat keputusan memohon Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat.

Beliau berkata, bagi memecahkan kebuntuan konflik politik yang berlaku ketika ini, Muhyiddin wajar menggunakan Parlimen sebagai wadah kerjasama, rundingan dan urus tadbir bersama dengan pihak pembangkang demi kebaikan negara di saat krisis koronavirus (Covid-19).

“Bagi membina semangat kerjasama dwipartisan ini, Muhyiddin wajar meminta Hamzah dan Azmin meletakkan jawatan dan memikul tanggungjawab kerana memberi nasihat salah kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Dengan ketiadaan Hamzah dan Azmin daripada Kabinet, kerjasama antara komponen PN akan beransur pulih dan suasana yang lebih harmoni dalam kerjasama dwipartisan bersama pihak pembangkang dapat dibentuk ketika krisis Covid-19," katanya dalam satu hantaran di blog beliau hari ini.

Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor berkata, kerajaan tidak sewajarnya takut kepada Parlimen, bahkan kerajaan tidak boleh melayan pembangkang sebagai musuh negara.

“Dengan layanan saksama terhadap ahli Parlimen pembangkang, melayan mereka secara adil seperti anggota ‘backbencher’ dari segi sumber dan akses untuk memberi input dasar dengan suatu perjanjian ‘confidence and supply’, kerajaan Muhyiddin berpeluang untuk mengubah krisis ini menjadi suatu kelahiran baharu buat demokrasi berparlimen di Malaysia," katanya.

Menurut beliau, sejak Parlimen bersidang setengah hari pada 18 Mei lalu, beliau telah memberitahu rakan dan lawan bahawa Muhyiddin perlu berhenti bergantung kepada Hamzah sebagai ketua operasi politiknya.

Menurutnya, Hamzah tidak memahami realiti politik pasca kekalahan UMNO yang mengakhiri hegemoni satu parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

“Hamzah sedang cuba mewujudkan semula dominasi satu parti seolah-olah Muhyiddin mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen. Antara sidang Mac dan Mei, Hamzah cuba membeli ahli Parlimen pembangkang. Hanya segelintir sahaja yang mungkin mempertimbang untuk lompat di saat majoriti kerajaan begitu tipis.

“Tiada siapa yang berkeyakinan bahawa kerajaan Muhyiddin akan kekal. Adalah amat kurang bijak bagi beliau untuk mengandaikan bahawa ahli-ahli Parlimen ini akan lompat. Setelah setengah tahun sejak bulan Mac, hanya Ahli Parlimen Lubok Antu yang lompat,” katanya.

Chin Tong mendakwa, Hamzah mencuba nasib di Sabah dan penyudahnya adalah kemenangan yang memakan begitu banyak sumber, sedangkan langkah Sabah itu adalah langsung tidak perlu.

“Hamzah telah memaksa UMNO sampai ke jalan buntu dan Muhyiddin terpaksa berdepan masalah di peringkat nasional apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi cuba menarik parti itu keluar daripada kerajaan.

"Satu-satunya kejayaan Muhyiddin iaitu mengawal Covid-19 langsung dimalapkan akibat kempen Sabah," katanya.

Beliau berkata, untuk memastikan kerajaan Muhyiddin boleh terus bergerak, Ahli Parlimen Pagoh itu mesti menerima hakikat bahawa beliau tidaklah mentadbir dengan majoriti dua pertiga dan Malaysia bukan lagi negara satu parti.

“Peranan Perdana Menteri ialah untuk membina konsensus antara sekutu dan mewujudkan rasa kerjasama dengan pihak pembangkang terutamanya di saat krisis Covid-19 yang memerlukan kerjasama dwipartisan,” katanya.

Ujarnya, Muhyiddin mesti komited untuk berhenti menganiaya pihak pembangkang dan menerima bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk seluruh rakyat Malaysia dan bukan hanya kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hingga menjengkelkan sekutunya UMNO, apatah lagi pihak pembangkang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!