Covid-19: KKM tolak dakwaan manipulasi data pesakit

Dr Noor Hisham menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Dr Noor Hisham menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menolak dakwaan pihaknya memanipulasi data harian pesakit Covid-19 di negara ini sehingga ia mencecah empat angka.

Beliau sebaliknya berkata, data pesakit Covid-19 diperolehi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi sistem informasi maklumat dan kesihatan awam setiap negeri.

"Ini (angka) bukan manipulasi tetapi adalah fakta," tegasnya.

Menurutnya, setiap negeri mengemas kini data masing-masing sehingga jam 12 tengah hari.

"Perbincangan bukan hanya daripada saya tetapi satu pasukan di sebalik tabir akan melihat data dan kluster terlibat," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Dr Noor Hisham turut menempelak pihak terbabit yang membuat tuduhan tersebut.

"Janganlah (apabila) data menunjukkan angka kosong dan satu digit kita terima, tetapi apabila ia melebihi 1,000 kes, kita tidak terima data tersebut," katanya.

Terdahulu seorang ahli politik dalam laman Facebook mendakwa Dr Noor Hisham dan KKM memanipulasi data harian pesakit Covid-19 bagi 'menghalalkan' darurat diadakan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang meminta kerajaan mempercepatkan penyaluran dana kepada Sabah kerana bimbang hospital negeri itu akan lumpuh akibat Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, kenyataan tersebut tidak berasas sama sekali.

"Mereka tidak tahu bahagian kewangan telah meluluskan peruntukan melebihi RM3 juta untuk Sabah dan peroleh darurat telah dibenarkan," katanya.

Justeru, Dr Noor Hisham menegur pihak-pihak terbabit agar mendapat fakta yang tepat ataupun merujuk KKM sebelum membuat laporan.

"Semalam ada laporan yang mengatakan KKM ada sembilan hospital di Sabah. Tidak benar.

"Kita ada 24 hospital dan satu Hospital Medan yang kesemuanya berfungsi dengan baik," katanya.

Menurutnya, KKM juga tidak mengalami masalah kekurangan katil dan mesin ventilator di negeri itu.

"Kalau kita lihat dari segi kemampuan hospital, penggunaan katil hanya 52 peratus, manakala penggunaan unit rawatan rapi (ICU) pula 60 peratus daripada 128 katil," katanya.

Beliau berkata, KKM mempunyai 26 pusat kuarantin dan sedang melihat enam lagi pusat rawatan risiko rendah Covid-19.

"Dari segi perjawatan, KKM telah meluluskan sebanyak 1,200 perjawatan baharu. Esok kita hantar surat tawaran dan Rabu ini mereka perlu melaporkan diri," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, tanggapan masyarakat terhadap KKM seolah-olah tidak melakukan sesuatu dan sistem kesihatan akan lumpuh.

"Tetapi ia tidak benar. Banyak sangkaan dan persepsi yang tidak betul dilaporkan," katanya.