Abdul Aziz dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UMP

Abdul Aziz Abdul Rahman
Abdul Aziz Abdul Rahman
A
A
A

KUANTAN - Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang baharu selama tiga tahun berkuat kuasa 19 Oktober hingga 18 Oktober 2023.

Pelantikan Abdul Aziz dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 17(1)(a) Perlembagaan Universiti.

Naib Canselor UMP, Profesor Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, dengan pengalaman luas selain pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UMP bermula tahun 2006 hingga 2014, pihaknya yakin Abdul Aziz dapat menyumbang kepakarannya untuk meneruskan kecemerlangan universiti itu.

“Pelantikan beliau seiring dengan hasrat universiti sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi berteraskan kejuruteraan dan teknologi ke arah universiti teknologi terunggul menjelang tahun 2050," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Aziz, 74, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan (B.Com) daripada University of New South Wales, Sydney, Australia yang kemudiannya menyambung pengajian dalam bidang Sains Pembangunan dan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Sosiologi Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bekas Pengerusi UMP Holdings Sdn Bhd (UMPH) itu juga kini merupakan Pengerusi IIUM Medical Specialist Centre, Timbalan Pengerusi IIUM Holdings Sdn Bhd, ahli Akauntan Bertauliah Malaysia daripada Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) dan juga Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Wan Azhar dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Ibrahim Ahmad yang kini merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) atas jasa dan sumbangan beliau ketika bersama pengurusan UMP. - Bernama

Artikel Berkaitan: