X

Kindly register in order to view this article
!

Kes baharu empat digit dengan 1,240 kes, tertinggi setakat ini

Dr Noor Hisham Abdullah. Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Tidak sampai 72 jam, Malaysia sekali lagi mencatatkan empat digit kes baharu koronavirus (Covid-19) dengan 1,240 kes, jumlah kes harian tertinggi yang direkodkan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 27,805 kes dengan kes aktif sebanyak 9,744 kes.

Beliau berkata, daripada kes baharu itu juga, Sabah kekal merekodkan jumlah kes tertinggi dengan sebanyak 927 kes atau 74.8 peratus dari jumlah kes seluruh negara.

"Jumlah kes di Sabah melonjak semula berikutan kes positif di Penjara Kepayan iaitu 439 kes, ini berikutan lebih banyak pengesanan kes secara aktif dijalankan di negeri Sabah.

"Selain itu, mobilisasi petugas kesihatan telah banyak membantu usaha saringan di lapangan dan juga rawatan perubatan," katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Selain Sabah, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 194 kes dicatatkan di Lembah Klang dengan 120 kes daripada kluster-kluster sedia ada dan baharu.

Sebanyak 508 kes lagi atau 41 peratus adalah daripada Kluster Penjara Kepayan, Kluster Penjara Seberang Perai, Kluster Benteng LD, Kluster Penjara Tapah dan Kluster Tembok.

Beliau berkata, kesemua kes tersebut terasing kerana berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sementara itu, daripada keseluruhan kes terbaharu terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan bukan warga negara yang tiba dari Rusia dan Ukraine.

Selebihnya, kata beliau, adalah kes penularan Covid-19 dalam negara dengan Sabah sebanyak 927 kes, Selangor (176), Pulau Pinang (61), Negeri Sembilan (25), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (17), Perak (8), Sarawak (7), Wilayah Persekutuan Labuan (5), Johor (4), Kedah dan Terengganu masing-masing tiga kes manakala dua kes lagi daripada Melaka.

Menurut Dr Noor Hisham terdapat sebanyak 691 kes pulih Covid-19 dan dengan perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 17,825 atau 64.1 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 94 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 31 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan tujuh kes kematian berkaitan Covid-19," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!