Kerajaan perlu ikut pembangkang patuh nasihat Agong

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Titah Yang di-Pertuan Agong supaya mengurangkan politik tidak terhad kepada ahli politik pembangkang sahaja tetapi termasuk di pihak kerajaan.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum didaftar, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sementara ahli politik pembangkang menghormati nasihat Seri Paduka Baginda, ahli politik kerajaan juga diharap berbuat demikian.

Menurutnya, kerajaan perlu menghentikan tindakan politik seperti melucutkan jawatan orang politik dan memberhentikan peruntukan wakil rakyat yang tidak sokong kerajaan.

"Hentikan membeli penyokong parti lawan untuk menjatuhkan kerajaan parti lawan, memaksa pilihan raya diadakan kerana percubaan merebut kerajaan.

"(Hentikan) menolak pendaftaran parti politik seperti Pejuang dan bermacam lagi tindakan politik seperti sogokan wang dalam pilihan raya," katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Isyarat jelas konsep Raja Berperlembagaan bukan retorik

Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, Pejuang tetap akan patuh kepada nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya politik di negara ini menjadi stabil.

Menurutnya, Pejuang sanggup bekerjasama dalam usaha semua pihak menangani ancaman wabak koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

"Sebagai pemimpin Pejuang yang belum didaftar, saya ingin menyatakan kesyukuran kami dan junjung kasih kami kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Yang telah utamakan kepentingan rakyat dengan membuat keputusan yang bijak terhadap cadangan mengisytiharkan darurat di negara tercinta ini," ujarnya.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, Pejuang mengalu-alukan keputusan Seri Paduka Baginda bersama Raja-raja Melayu untuk tidak mengisytiharkan darurat seperti dipohon Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, rakyat tentu gembira dengan keputusan tersebut.