Keselamatan negara terkawal: Hamid Bador

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan dan ketenteraman awam negara adalah terkawal meskipun negara tidak diisytiharkan sebagai darurat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, PDRM tetap dan sentiasa fokus kepada tugasan hakiki iaitu menjaga keselamatan dan ketenteraman awam selain melaksanakan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Arahan dan peringatan terus diberikan kepada petugas PDRM di lapangan untuk meningkatkan penguatkuasaan SOP bagi meringankan beban Kementerian Kesihatan.

“Orang ramai pula bebas melakukan aktiviti harian masing-masing tanpa perlu bimbang tentang keadaan keselamatan (akan) tetapi tertakluk kepada SOP PKPP di kawasan masing-masing,” katanya.

Abdul Hamid berkata, tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab yang didapati menimbulkan kegusaran dan kekacauan selain memberi peringatan bahawa PDRM sentiasa memantau aktiviti di seluruh negara.

“Adalah diingatkan sekali lagi bahawa PDRM sentiasa memantau aktiviti di seluruh negara dan segera bertindak ke atas sesiapa sahaja yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan apa jua medium untuk menimbulkan kegusaran dan kekacauan. Tiada kompromi,” katanya.

Semalam, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ATM sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga walaupun Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah tiada keperluan darurat diisytiharkan di negara ini.

Berikutan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah bertitah perkara itu diputuskan selepas memperhalusi permohonan dipersembahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: