Selangor kekal catat penurunan kes demam denggi

Gambar kecil: Sha'ari
Gambar kecil: Sha'ari
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor kekal merekodkan penurunan kes demam denggi bagi Minggu Epid (ME) 43 yang berakhir pada 24 Oktober lalu dengan mencatatkan sebanyak 40,739 kes berbanding 60,024 kes minggu sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, berdasarkan perkembangan tersebut, negeri ini mencatatkan penurunan kes sebanyak 32.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, buat masa ini, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) juga telah mengenal pasti sebanyak 178 lokaliti wabak denggi aktif di seluruh negeri ini.

"Jumlah lokaliti aktif itu meliputi 11 lokaliti hotspot, wabak tidak terkawal (15), wabak terkawal (143) dan wabak baharu (9).

"Sebanyak 36 kematian direkodkan sehingga kini dengan penurunan sebanyak 14 kes berbanding ME sama tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Sha'ari berkata, walaupun kes demam denggi di Selangor berada di bawah angka 500 bagi tempoh empat minggu berturut-turut tahun ini, namun penduduk disaran agak tidak leka dan sentiasa berjaga-jaga.

Katanya, penduduk di Selangor perlu terus mengamalkan langkah pencegahan demam denggi dengan melakukan pembersihan premis masing-masing.

"Luangkan masa selama 10 minit dengan memastikan semua takungan air dibuang untuk menggelakkan pembiakan jentik-jentik," katanya.

Artikel Berkaitan: